29 August 2011

TV Al Hijrah Susun 9 Program Menarik Sempena Hari Raya

Ketika Cinta Bertasbih Antara Sajian TV9 Sempena Raya 2011
SEKALIPUN masih baru, stesen TV AlHijrah tidak ketinggalan menyenaraikan pelbagai program menarik sempena Aidilfitri. Siaran TV AlHijrah kini dipancarkan menerusi Saluran 114 Astro.Tampil dengan tema Syawal Satu Kemenangan, majlis pelancaran program Aidilfitri berlangsung di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kompleks Pusat Islam yang turut dihadiri artis, penerbit serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bukhari Che Muda. 
Bukhari ketika ditemui berkata, ini tahun pertama TV AlHijrah menghasilkan kandungan program untuk Ramadan dan Syawal. Biarpun mencabar, mereka cuba menyajikan program yang yang sesuai kepada penonton. 

“TV AlHijrah menampilkan konsep program Islamik. Konsep Islamik ini mula mendapat perhatian ramai walaupun pada mulanya ia sukar difahami,” katanya.

Berbalik kepada pengisian program raya, Bukhari berkata, tema Syawal Satu Kemenangan dipilih kerana Aidilfitri adalah detik kemenangan selepas perjuangan terbesar umat Islam melawan hawa nafsu.

“Untuk hari raya, kami tampilkan program seperti Kitab Cinta Syawal Di Markas (2 Syawal, jam 11.30 pagi) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia. Ia dirakam di Tasik Banding. 

“Sebanyak sembilan telemovie pula dihasilkan untuk siaran selama seminggu, antaranya Elegi Kasih (malam raya, jam 10 malam), Tart Untuk Kakak (1 Syawal, 2 petang), Kitab Cinta (1 Syawal, 8.30 malam) dan Pak Ngah Haji Omar (2 Syawal, 8.30 malam). 

“Program kami tiada unsur-unsur sedih. Inilah yang membezakan program raya AlHijrah dengan stesen lain. Kami mahu lari dari kebiasaan. Kandungan bahannya lebih kepada nilai keinsafan. 

“Kami juga sediakan satu program hiburan iaitu Salam Raya Steve Thornton (1 Syawal, 10.30 malam) yang menampilkan artis undangan Datuk Ahmad Nawab, Datuk Sheila Majid, Raihan dan Noryn Aziz,” jelasnya. 

Sementara itu, Bukhari turut mengakui mereka kekurangan skrip yang baik dan berunsur keIslaman dan mengharapkan supaya karyawan seni tampil dengan pembaharuan. 

“Saya lihat, sudah ada satu kesedaran dalam penulisan dan sumbangan skrip. 
Tapi kami masih perlukan banyak skrip dan minta penerbit tampil dengan skrip yang baik dan bermutu. Ceritanya mesti ada elemen drama namun dalam masa sama menghiburkan,” jelasnya. 

Menjawab pertanyaan lain, Bukhari akui menerima rungutan daripada penduduk di negeri di utara Semenanjung dan Kelantan yang tidak berpeluang menonton siaran percuma TV AlHijrah. Katanya, pihak mereka sedang cuba mengatasi masalah itu. 

“Kami dalam peringkat untuk dapatkan spektrum siaran yang meluas dan masih menunggu penilaian Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai perkara ini. Bagaimanapun, penonton boleh menyaksikan program kami menerusi Internet dengan melayari www.tvalhijrah.com atau facebook kami,” katanya. 

Lain-lain program menarik TV AlHijrah adalah Assalamualaikum: Syawal Satu Kemenangan (1-3 Syawal, jam 7 pagi-10 pagi), Ketika Cinta Bertasbih 1 (2 Syawal, jam 2 petang), Hostel Ramadan (3 Syawal, jam 11 pagi), Syawal Di Australia (3 Syawal, jam 12 tengah hari ), Ketika Cinta Bertasbih 2 (3 Syawal, jam 2 petang) dan Tidak Terputus Tasbih itu (3 Syawal, jam 8.30 malam).
Dipetik Dari : myMetro

Jimmy Shanley Ada Orang Baru??


KUALA LUMPUR: Hiba apabila impian untuk meraikan Aidilfitri sebagai ‘orang berkeluarga’ tidak kesampaian, pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley Salleh berkelana membawa diri menunaikan umrah di Makkah, sekali gus menyambut 1 Syawal bersendirian di Tanah Suci itu.
Jimmy, 31 yang yatim piatu menggemparkan dunia hiburan tanah air selepas pernikahannya pada Oktober tahun lalu, bergolak selepas 20 hari apabila isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, meninggalkannya ketika mereka berbulan madu di Koh Samui, Thailand.

“Sedih rasanya apabila hasrat untuk berhari raya bersama isteri dan anak tidak kesampaian. Ingatkan selepas berkahwin saya boleh menumpang keluarga isteri dan mentua, tapi itu semua tidak kesampaian. “Apapun, saya pasrah kerana sedar kita merancang, tetapi Allah menentukan segala-galanya dan pasti ada hikmah di sebalik semua yang berlaku ini,” katanya melalui SMS kepada Harian Metro.
Mengimbas rentetan kontroversi rumah tangganya, selepas pergolakan Jimmy memfailkan tuntutan kembali taat diikuti nusyuz terhadap Nursuhaila di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 3 dan 27 Januari lalu.

Perhubungan suami isteri itu tampak menerbitkan riak-riak positif apabila Nursuhaila selamat melahirkan cahaya mata mereka yang diberi nama Zahrah pada 24 Jun lalu dan Jimmy mengeluarkan kenyataan mahu menarik kembali tuntutan mahkamah yang difailkannya.

Bagaimanapun, kedamaian rupa-rupanya terus menjauhi mereka apabila Nursuhaila mengadakan sidang media pada 25 Julai lalu mendakwa Jimmy sering memukulnya termasuk pada malam sebelum majlis akad nikah dan ketika mereka berbulan madu di Koh Samui.
Malah, keadaan menjadi semakin ‘panas’ apabila Nursuhaila mendakwa suaminya turut berbohong kepada media memberitahu majlis cukup jambul anak mereka yang diaturkan bapanya, Datuk Suhaimy Othman pada 27 Julai lalu dibatalkan tanpa memaklumkan kepada keluarganya.

Berang dengan tindakan Jimmy, Nursuhaila memberitahu dia mahu meneruskan perceraian dan akan menuntut hak penjagaan anak mereka biarpun di pihak Jimmy, sebutan kes permohonan kembali taat dan nusyuz yang dibuat ke atas isterinya akan didengar pada 29 September depan.
Berikutan kemelut memeningkan itu, Jimmy memutuskan untuk mengerjakan umrah dan bertolak ke Makkah pada 21 Ogos lalu diiringi harapan mudah-mudahan mendapat hidayah Ilahi bagi menunjukkan jalan keluar terbaik kepada segala permasalahan yang membelenggu dirinya.

“Ini kali pertama saya berhari raya di perantauan, terus terang perasaan sedih memang kuat membelenggu perasaan saya. Ada isteri dan anak, tetapi disebabkan sedikit masalah kami tak dapat bersama di hari mulia ini...semuanya tidak menjadi,” katanya.

Bagaimanapun, kata Jimmy, sejak berada di Makkah dia tidak pernah putus berdoa kepada Allah supaya dikurniakan kesejahteraan kepada isteri dan anak perempuannya, Zahrah.

“Insya-Allah, semua ini akan berakhir dengan kebahagiaan tidak lama lagi. Lebih penting sekarang saya mahu menumpukan amal ibadat di sini dan tahun hadapan saya akan berhari raya dengan orang baru,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut apa maksud kata-katanya itu.

Jimmy berkata, kesempatan berhari raya di Makkah juga digunakannya untuk menziarahi pusara ibunya yang meninggal dunia di Hospital Makkah kerana sakit paru-paru ketika mengerjakan haji pada 8 Mac 2002. Menurutnya, tarikh itu kuat terpahat dalam ingatannya kerana pada tarikh itu dia menjadi anak yatim piatu berikutan ayahnya yang bekerja sebagai petugas mesin melombong bijih timah meninggal dunia lebih awal dalam tragedi kapal korek terbalik di Puchong pada 8 Ogos 1984. “Biarpun saya ditimpa banyak musibah dan berhari raya tanpa anak, isteri dan keluarga, saya tetap menerimanya dengan hati terbuka kerana saya sedar masih ramai insan lain nasib mereka lebih teruk daripada saya,” katanya yang akan kembali ke tanah air pada Sabtu ini.
Dipetik Dari : myMetro

Adnan Sempit Dan Nur Kasih The Movie Sajian Media Prima Raya 2011


SUDAH menjadi tradisi, setiap kali Syawal atau perayaan, stesen TV akan menyajikan pelbagai program menarik untuk halwa mata dan telinga.
Apatah lagi sambutan raya kali ini turut bertindih dengan sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia ke-54 esok, lebih banyak program menarik disediakan. 
Stesen TV3 dan TV9 sebagai contoh membuat persediaan hebat bertemakan Salam Syawal (TV3) dan Di Hatiku Ada Raya (TV9).

TV3 melalui slot Dramedy, menyediakan tiga karya lucu dan lapan telefilem menarik menerusi slot Telemovie Raya sejak 27 Ogos lalu manakala TV9 menyediakan empat telefilem menerusi slot Telefilem. 
Drama Dari Kedah Ke KL ke udara pada raya pertama, jam 10 pagi. Ia lakonan Jep Sepah, Achong, Tiz Zaqyah, Kazar dan Mia Sara Nasuha. Mengisahkan empat hari sebelum Hari Raya, Zamri mengikuti bosnya bermesyuarat di Kedah. 
Malangnya, Zamri terpaksa berikhtiar pulang ke Kuala Lumpur kerana tiket bas habis dijual dan tiada teksi mahu mengambilnya.

Zamri berkenalan dengan Khai yang membantunya mendapatkan balik dompetnya yang dicuri dan mempelawa Khai pulang ke Kuala Lumpur bersamanya. Sejak itu, ada saja masalah yang timbul atas keputusan yang diambil Khai seperti teksi rosak,1 malah dimasukkan lokap dek suatu insiden. 

Senario Raya Hero Cilik yang ke udara 2 September, jam 11 malam mengisahkan Haikal, budak lelaki yang nakal. Lalu ibu bapa Haikal menghantarnya pulang ke kampung untuk tinggal bersama datuknya pada musim cuti sekolah. 

Haikal sengaja menimbulkan pelbagai masalah dengan harapan akan dihantar pulang ke Kuala Lumpur. Tiada siapa yang sudi berkawan dengan Haikal kecuali Ujang. Drama ini dijayakan Izuan Fitri, Azlee Jaafar, Mazlan Pet Pet, Wahid, Sharifah Shahira dan Ijoy. 

Kopi Susu Kopi O muncul pada 3 September, jam 11 malam dengan kisah dua pemilik restoran, Janda dan Duda yang saling bersaing untuk mendapatkan pelang�gan. Mereka juga gemar mengemas kini status akaun twitter. Janda tidak sedar salah seorang kenalan di twitter yang disukainya adalah anak Duda. Drama ini dijayakan Ebby Yus, Ziela Bakarin, Misha Omar, Azad Jasmin, Zed Zaidi, Sobri Anuar dan Irma Hasmie. 

Kemeriahan raya diteruskan dengan Pusara Di Lebuh Raya lakonan Fauzi Nawawi, Lisdawati, Fadilah Mansor, Fazli Daniel dan Idris Md Diah pada raya pertama, jam 11 pagi. Ia mengisahkan Hakimi, pemandu bas ekspres bernazar ingin membawa ibu bapanya mengerjakan umrah andai mendapat anak. 

Namun, niatnya sering tertangguh malah ada saja masalah kewangan yang dihadapi sehingga anaknya menjangkau usia empat tahun dan isteri�nya, Zuraidah mengandungkan anak kedua. 

Sakura yang dijayakan Ahmad Tamimi, Shahz Jaszle, Megan Tan, Raja Noorbaizura, Diandra Junaidi, Raf Yaakob dan Datuk Rosnani Jamil pula ditayangkan pada raya kedua, jam 11 pagi. 

Sakura adalah gadis Jepun, cucu kepada Yamada, bekas tentera Jepun yang pernah bertugas di Malaya ketika Perang Dunia Kedua. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Yamada berpesan kepadanya agar mencari satu keluarga di Malaya untuk memohon maaf atas satu pembunuhan tanpa dirancang. 

Janjiku Pada Al Walid me�nyusul, dibintangi Eman Manan, Johan As’ari, Rabecca Nur Al-Islam, Eizlan Yusof, Roslan Salleh dan Normah Damanhuri (1 September, jam 11 pagi). 

Ia mengisahkan Khalid, kematian isteri menghidap sakit tua dan hidup bersendirian. Anak lelakinya, Khalifa sudah berkeluarga tetapi cucunya, Afiq sering lalai dengan ajaran Islam. 

Telemovie lain yang menarik di TV3 adalah Ku Petik Dosa lakonan Fasha Sanda, Fadilah Mansor, Zaidi Omar, Farah Nadia, Fikree Bakar (2 September, jam 11 pagi). Aina dan Haris berkahwin pada usia muda dan dikurniakan anak perempuan, Nia Qaseh. Gara-gara sibuk bekerja, anak mereka kemudian menjadi mangsa nafsu serakah jiran mereka.

Cerekarama lain yang disediakan adalah Di Telapak Kaki Bonda lakonan Diana Danielle, Hansen Lee, Hairie Othman, Sherry Merlis, Nelly, Angelina Tan, Adam Shah dan Shukri Yahya (3 September, jam 10 malam), Bara Cinta Ramadan (17 September, jam 10 malam) lakonan Zamarul Hisyam, Jasmin Hamid, Fauziah Nawi, Ako Mustapha dan Zarina Zanordin. 

Sementara filem-filem cereka hebat yang disajikan pada raya tahun ini adalah Duyung, Jin Notti, Senario Ep 1, Syurga Cinta, Kecoh Betul, Susuk, Jangan Pandang Belakang Congkak, Momok The Movie, Brainscan 21, Ladyboss, Congkak, Adnan Sempit, Zoo, 4 Madu, Nur Kasih The Movie dan Senario Beach Boys. 

Slot Telefilem TV9 pula membuka tirai menerusi Syurga Bagiku lakonan Razak Ahmad, Zarina Zainoordin, Syazwan Zulkifli, Nazim Othman dan Amanda Misbun pada raya pertama, jam 6.30 petang. 

Ia mengisahkan Razak, dituduh memiliki dadah dan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Dia mempunyai seorang anak perempuan, namun anaknya itu tidak pernah pun melawatinya ketika merengkuk dalam penjara. 

Adikarya Lazizah lakonan Normah Damanhuri, Lisdawati, Amanda Misbun dan Memey Suhaiza muncul pada 31 Ogos, 6.30 petang. 

Lazizah gigih menjaga tiga anak perempuannya tanpa suami. Suami pertama Lazizah, seorang perajurit sudah meninggal dunia lalu dia berkahwin dengan seorang lelaki yang rupanya kaki judi dan jahat. 

Sekering Jiwa Ente yang bertema komedi muncul pada 1 September, jam 6.30 petang manakala Kain Pelikat Acat pada 2 September, jam 6.30 petang. 

Filem cereka menarik yang menjadi pilihan TV9 pula adalah Niyang Rapik, Antoo Fighter, Lu Fikirlah Sendiri, Evolusi KL Drift dan Pisau Cukur.

AidilFitri Sheila Majid



Sheila akan mengadakan konsert di Sutera Harbour
Sabah pada September ini.
RATU jazz negara, Datuk Sheila Majid, 46, masih cantik dalam usianya itu malah aura yang tersimpan dalam figura genit itu sungguh mempesonakan.
Hingga ke hari ini, namanya masih tersemat utuh dalam kalbu peminatnya yang menggemari stail, muzik dan identiti yang dibawanya sejak album sulung Dimensi Baru pada tahun 1985 lagi.
Kesempatan yang diberikan untuk Kosmo! berbicara dengan penyanyi kesayangan ramai itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membicarakan kemeriahan sambutan lebarannya selain ceritera terkini empunya nama Shaheila Abdul Majid atau serasi dengan panggilan Sheila Majid.
Bagi isteri kepada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hasridz Murshim Hashim Abdullah atau mesra disapa Acis itu, sepanjang hidupnya sambutan raya hanya berkisar di bandar raya Kuala Lumpur.
“Orang banyak tak tahu Kuala Lumpur memang kampung saya dan Acis, sejak lahir saya beraya di sini,” katanya.
Tambahnya, raya di kampung orang tidak sama dan semeriah menyambutnya di ibu kota Kuala Lumpur.
“KL (Kuala Lumpur) memang kampung saya, apa yang penting hari raya memberi peluang untuk berkumpul dan berjumpa sesama sanak saudara tak kisah di mana-mana sekali pun,” katanya yang menyelami makna sebenar hari raya dalam erti kata lebih jelas.
Ujar pelantun lagu Ku Mohon itu lagi, bulan Syawal juga peluang untuk mengeratkan hubungan dan tali persaudaraan sesama anggota keluarga.
“Kalau pagi raya, biasanya selepas pulang daripada sembahyang sunat Aidilfitri kami akan menyambutnya dengan ibu saya (Datuk Paduka Saadiah Adam, 86) dan ke rumah ibu mentua di Damansara.
“Kemudian, lebih kurang pukul 11 pagi kami akan pulang semula ke rumah dan menantikan keluarga tujuh adik-beradik saya yang lain datang ke rumah,” cerita figura yang masih tinggal bersama ibunya hingga kini.
Memilih rendang ayam ibunya sebagai juadah paling istimewa tatkala menyambut hari kemenangan umat Islam itu, Sheila turut berkongsi nikmat perayaan berkembar Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan ke-54 pada tahun ini.
“Oleh kerana Syawal menjelang pada masa yang sama kita menyambut Hari Kemerdekaan negara, saya bersyukur dengan kedua-dua sambutan hari kemenangan ini yang disambut serentak dalam keadaan negara kita masih aman damai dan dilimpahi nikmat Yang Maha Esa,” ucapnya.
Menjelang sambutan Aidilfitri, ujar ibu kepada empat cahaya mata itu, segala persiapan dibereskan sejak minggu pertama berpuasa.
“Tahun ini warna tema keluarga saya ialah merah jambu, kalau baju raya saya akan dahulukan anak-anak dan rasanya tahun ini cukup sekadar sepasang baju raya pada hari raya pertama untuk saya,” cerita ibu kepada Wan Nur Khaleda, 20, Megat Abdul Majid, 17, Khadeja Zaireen, 7 dan Khalefa Laila, 4.
Album raya, konsert
Menjelang fasa terakhir bulan penuh barakah, Sheila juga tampil dengan album raya berjudul Memori Aidilfitri yang memuatkan sembilan buah lagu.
“Kebanyakan lagu yang terkandung dalam album raya itu digubah semula daripada lagu-lagu nostalgia Aidilfitri untuk mendekatkannya dengan jiwa generasi muda sekarang,” tuturnya.
Ini termasuk dua lagu raya nyanyian ratu jazz tanah air itu iaitu Hari Mulia dan Tiba Hari Mulia yang diberi nafas baru termasuk beberapa lagu hari raya yang dinyanyikan semula seperti Suasana Hari Raya (Anuar Zain & Elina), Selamat Hari Raya dan Suasana Hari Raya (Sharifah Aini).
Selain itu, sebuah single terbaharu, Tiada Lagi turut terkandung dalam album itu yang sudah pun menemui pendengar di corong-corong radio pada minggu terakhir Ramadan.
Dalam pada itu, penyanyi jelita itu juga terlibat dalam persiapan untuk konsertnya di Sabah dan Perth, Australia menjelang akhir tahun ini.
Tiada konsert terbuka buat masa sekarang memandangkan tahun lalu Sheila terlalu sibuk dengan sambutan ulang tahun ke-25 tahun karier seninya, justeru yang ada hanya persembahan korporat.
“Pada hujung bulan September saya akan mengadakan konsert di Sutera Harbour, Sabah berkonsepkan teater dan persembahan korporat untuk Malaysian Chinese Chambers of Commerce dan kemudian di Ellington, Perth pada bulan Oktober pula,” jelasnya yang masih menjadi duta Institut Jantung Negara dan Prudential selain menjadi jurucakap produk Diamond Water Filter.
Dipetik Dari : Kosmo Hiburan

Raya 3 Personaliti Berbeza,Fasha Sandha,Safik Rahim Dan Alyah


TIGA personaliti berbeza, Fasha Sandha, Safiq Rahim dan Alyah bergabung menjadi satu. Ada getar cemas yang tidak dapat dibendung ketua pasukan bola sepak Harimau Malaya, Safiq Rahim pada awal sesi fotografi yang menggandingkan dia bersama Fasha dan Alyah.
Mulanya, Safiq tidak dapat melihat relevan gandingan mereka, namun selepas diberitahu kolaborasi ini kerana mereka bertiga sukses dalam lapangan masing-masing, sementelah pasukan bola sepak negara sedang semarak dan menjadi kebanggaan Malaysia, maka Kosmo! mahu berkongsi ceritera Aidilfitri dan Merdeka tanpa sulaman gosip, dia segera bersetuju.
Bagi Fasha dan Alyah pula, memang sudah menjadi tugasan mereka sebagai selebriti berkongsi cerita tentang sambutan berganda itu
afiq cuti dua hari
JIKA boleh diberi perumpamaan, kesibukan Safiq mengalahkan menteri! Namun itu adalah pengorbanan yang harus dibuat apabila dia berikrar untuk memikul tanggungjawab mengharumkan nama negara melalui kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional Malaysia.
Menurut anak sulung daripada dua beradik ini, walau tidak mempunyai perlawanan, dia dan anggota pasukan yang lain tetap wajib melakukan rutin latihan pada setiap hari, termasuk pada bulan Ramadan.
"Cuti raya juga hanya dua hari iaitu hari ini dan esok. Kemudian, jadual harian saya menjadi seperti biasa dan seminggu selepas raya, saya sudah mempunyai perlawanan besar iaitu Asia Cup," katanya yang sudah menjadi pemain negara sejak berusia 14 tahun.
Wajib memiliki dua pasang baju Melayu setiap kali Syawal hadir, si penggemar lemang, ketupat, nasi impit dan rendang ini saat ditanya tentang definisi raya memberi satu penjelasan tanpa huraian yang panjang. Aidilfitri bermakna hari kemenangan. Katanya, menang daripada semua segi.
Ketika ditanya tentang ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 yang jatuh seiring Aidilfitri, dia memberitahu: “Nikmat sebenar merdeka sebenarnya lebih dirasai oleh generasi yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara dulu.
"Kita, sebagai generasi baru harus menyambung legasi ini dengan aspirasi yang tinggi terhadap apa yang kita peroleh pada hari ini."
Malah dia sebagai anak muda yang baru menginjak usia 24 tahun menzahirkan patriotisme dengan bertarung bersungguh-sungguh di padang bola. Katanya, dia tidak bertarung untuk diri sendiri, tapi untuk sekurang-kurangnya membuat nama negara harum, biarpun dalam pertarungan adakalanya mereka tewas tetapi itu bukti cinta dia terhadap bumi bernama Malaysia.
Fasha rasa bebas
KEMERIAHAN lebaran turut dinanti-nantikan oleh aktres jelita Fasha Sandha. Setiap tahun destinasi wajib Fasha apabila tibanya lebaran ialah kampung sebelah ibunya di Perlis. Berkumpul bersama keluarga besarnya merupakan agenda paling utama memandangkan jadual kerjanya yang sibuk.
“Memang setiap tahun bila raya, kampung di Perlis menjadi lokasi utama dan wajib kami sekeluarga. Seronok sangat beraya di sana kerana selain nenek, saudara-mara yang jarang jumpa akan turut berkumpul,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu,
Fasha, 27, yang menggemari kuih batang buruk, nasi tomato dan laksa Pulau Pinang pada hari lebaran memberitahu, tahun ini dia mula bercuti dua hari sebelum raya dan membantu membuat persiapan lebaran bersama keluarga.
“Biasanya ibu nak mak cik-mak cik yang masak, saya tolong potong-potong dan tolong makan-makan (ketawa). Tahun ini sama seperti tahun sebelum ini, saya dan keluarga menyambut lebaran secara sederhana. Saya pun hanya ada sepasang baju raya yang ditempah,” ujarnya.
Bagamanapun, disebabkan tuntutan kerja, pada hari raya ketiga, Fasha sudah berada di Kuala Lumpur untuk menyambung penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Cinta Elysa, lakonannya di samping aktor Johan Ariff As'ari yang popular menerusi drama Juvana.
“Saya tidak sempat untuk bercuti panjang kerana kerja, selalunya kami sekeluarga akan pergi bercuti sekali. Tetapi penggambaran harus berjalan mengikut jadual kerana drama ini akan bertemu penonton pada pertengahan September nanti,” tuturnya yang turut berlakon dalam drama raya berjudul Kupetik Dosa.
Bercakap mengenai rumah terbuka, kata Fasha, rumah keluarganya di Perlis sentiasa terbuka untuk semua orang pada hari raya pertama dan sekembalinya ke Kuala Lumpur, dia merancang untuk mengadakan rumah terbuka di salon miliknya, Chinta Hair Salon.
“Saya memang merancang nak buat rumah terbuka di salon cuma tarikhnya belum dapat dipastikan. Tujuan saya buat rumah terbuka adalah untuk meraikan pelanggan salon saya dan juga peminat yang tidak henti memberikan sokongan kepada saya,” katanya yang mempunyai impian untuk menambah cawangan salon miliknya itu.
Tambah Fasha, lebaran kali ini sungguh unik kerana disambut bersama Hari Kemerdekaan negara yang ke-54. Sebagai anak Malaysia, dia sungguh bangga dan bertuah dapat tinggal di negara yang aman dan harmoni.
“Kemerdekaan membawa pengertian yang cukup besar bagi saya kerana ada negara yang tidak menggalakkan rakyatnya berkarya dalam bidang seni terutamanya wanita. Jadi saya bersyukur sangat kerana Malaysia sebuah negara yang aman dan stabil.
“Saya bebas berjalan dan pergi ke mana sahaja saya suka tanpa sebarang sekatan dan bantahan. Saya juga kibarkan Jalur Gemilang di salon saya supaya pelanggan yang datang dapat merasai debaran merdeka itu," katanya yang kerap menyambut kemerderkaan negara di set penggambaran bersama kru produksi.
Lapan pasang baju Alyah
SELEPAS Kisah Hati Alyah diselami dan didengari, kini penyanyi yang punyai vokal mantap itu tidak sabar pula menanti album Menunggu Cahayanya tiba. Ibarat kekasih yang menyulam cinta sehingga mengeluarkan benih penyambung asmara begitu jua yang dialami penyanyi kelahiran Bintang HMI 2000 ini.
Bermula dengan Kisah Hati, kini pemilik nama sebenar Noor Hasliah Abu Hassan, 30, itu mempertaruhkan pula single keduanya yang berjudul Menunggu Cahaya.
“Alhamdulillah selepas Kisah Hati mendapat sambutan dan menduduki carta radio, selepas raya ini single kedua Alyah, Menunggu Cahaya ciptaan Julfekar dan lirik oleh Roslen Fadzil pula bakal dikeluarkan,” katanya.
Tidak terlalu taksub untuk mengeluarkan album dengan segera, Alyah punyai perancangan lain bagi menjadikan lagu-lagunya diterima dan disukai peminat.
“Sengaja Alyah keluarkan single demi single dulu supaya peminat sudah biasa mendengar lagu-lagu Alyah dan kebarangkalian untuk mereka membeli album adalah lebih tinggi. Album penuh Alyah nanti akan memuatkan enam lagu. Antaranya ialah Kau Bisa, Realiti Dewi, Kisah Hati, Pesananmu dan Menunggu Cahaya,” kata ibu kepada dua orang anak angkat itu.
Bercerita mengenai sambutan Aidilfitrinya tahun ini ternyata Alyah begitu teruja. Selepas beberapa tahun menyambut Syawal pada saat-saat akhir kerana terlibat dengan siaran langsung Sampaikan Salam pada malam raya, tahun ini dia dapat pulang ke kampung ibu bapanya di Gelang Patah, Johor kerana program Sampaikan Salam dibuat secara rakaman.
Lantas, dia berkesempatan membeli kelengkapan raya buat dirinya dan juga dua orang anak angkatnya iaitu Mohd. Alif, 5 dan Naziatul Afiqah, 3.
“Afiqah ada baju sama banyak dengan Alyah iaitu lapan pasang. Sengaja Alyah sediakan banyak sebab budak-budak lasak dan akan kerap tukar baju. Untuk Alif pula, Alyah kongsi dengan kakak beli baju untuk dia. Alif memang tinggal dengan kakak Alyah manakala Afiqah tinggal dengan Alyah. Baju lapan pasang Alyah pula bukan sahaja dibeli semata-mata untuk raya tetapi untuk jemputan program atau sesi fotografi,” katanya yang membeli baju raya daripada pereka Zery Zamry dan Rizman Ruzaini itu.
Menyentuh mengenai kenangan rayanya, kata Alyah, dia masih terasa kehilangan arwah ayahnya ketika sambutan raya pada tahun 2000.
Malah, apa yang menyedihkannya apabila dia tidak dapat bersama arwah ayahnya pada saat-saat akhir.
“Ayah meninggal dunia semasa umat Islam seminggu beraya pada tahun 2000. Saya sangat sedih sebab masa ayah meninggal saya sudah pulang ke Kuala Lumpur. Ketika itu juga saya menang pertandingan Bintang HMI tahun 2000,” ujarnya.
Ditanya mengenai pengertian kemerdekaan, bagi Alyah, generasi muda sekarang dan akan datang harus sentiasa ingat perjuangan nenek moyang dalam mencapai kemerdekaan.
Dipetik Dari : Kosmo Hiburan

25 August 2011

Shamsul Yusof Pengarah Kreatif

KUALA LUMPUR: Penerbit filem, Datuk Yusof Haslam, mengakui, syarikatnya Skop Production akan rugi jika dia melepaskan anaknya, Syamsul Yusof, untuk bekerja dengan produksi lain.
Menurutnya, Syamsul merupakan seorang pengarah yang kreatif dan kerana dia, Skop telah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM20 juta dalam masa enam bulan menerusi dua buah filem sahaja iaitu KL Gangster dan Khurafat.
"Dari segi perniagaan, Alhamdulillah, Syamsul membawa keuntungan kepada syarikat dan sebagai seorang ayah, saya bertuah mempunyai anak sepertinya.
"Tetapi dari sudut kekeluargaan pula, saya sudah mengingatkan Syamsul dan seorang lagi anak iaitu Syafiq supaya kekallah bekerja dengan Skop," katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan pemberian bonus di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ulu Klang, Rabu.
Tambah Yusof, walaupun dia tahu, banyak produksi yang memberi tawaran lumayan kepada Syamsul untuk menyertai mereka, dia percaya, anaknya itu tetap akan setia dengan Skop dan tidak mungkin 'menderhaka' terhadap keluarga.
Dalam pada itu, Yusof berpendapat, dengan pelbagai projek drama dan filem yang ada, tiada alasan untuk Syamsul keluar berkarya di produksi lain pula.
"Setakat ini Skop mempunyai pelbagai projek yang perlu dilaksanakan. Malah bekerja dengan keluarga adalah paling mudah kerana apa yang mereka mahu, saya beri.
"Malah dari segi masa kerja juga lebih fleksibel. Cuba kalau kerja dengan orang lain, silap hari bulan, seawal 8 pagi sudah kena ada di pejabat," selorohnya.
Sementara itu, pada majlis berbuka puasa itu, Yusof telah memberikan bonus iaitu 'duit raya' kepada 160 pekerja syarikat produksi berkenaan, para pelakon, termasuklah pelakon-pelakon veteran dan krew produksi.
Yusof berkata, memandangkan tahun ini Skop berjaya mencatat sejarah dengan memperoleh jumlah kutipan filem yang agak besar nilainya, maka tahun ini juga dia melaburkan sejumlah wang yang besar kepada pekerja-pekerjanya.
"Alhamdulillah, bila kita ada rezeki lebih, tidak salah untuk dikongsi bersama. Saya bersyukur kerana pemberian bonus pada tahun ini adalah paling besar jumlahnya berbanding tahun-tahun yang lalu," katanya, yang enggan memberitahu jumlah keseluruhan bajet pemberian bonus tersebut.
Dipetik: mStar Online

21 August 2011

Iklan Kontroversi Nurul Wahab Ditarik Balik Siarannya

AWAL minggu lalu, nama Nurul Huda Wahab menjadi sasaran serangan penulis-penulis blog. Lebih kecoh lagi, ada yang menyuarakan kemarahan sambil menyelar poster iklan produk pelangsingan badan Glow & Glamour yang memaparkan Nurul Wahab dalam pakaian menjolok mata. Kemarahan mereka bertambah kerana Nurul dirakam berlatarbelakangkan imej masjid sekali gus dianggap sebagai satu tindakan biadab.

Nurul turut berdepan kata-kata cemuhan. Dia turut disindir seksi tidak bertempat dan tidak mempedulikan sensitiviti umum tambahan pula kempen berkenaan diterbitkan untuk bulan Ramadan.

Bagaimanapun, komen-komen dan teguran daripada pelbagai pihak itu sebenarnya satu tindakan yang masuk akal. Hasil komen-komen berkenaan, barulah Nurul serta pengurusnya, Badrul Hisham menyedari salah percaturan pihak yang berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan kepada pihak Glow & Glamour dan tidak sampai dua hari, iklan yang mengundang kontroversi itu ditarik balik daripada penyiaran di media cetak dan elektronik. Pihak Glow & Glamour sendiri sudah tampil dengan kenyataan maaf.

“Sebenarnya komen-komen itu bagus, kami terima setiap teguran yang baik dengan hati terbuka kerana dari situ juga kami menerima maklum balas untuk dikemukakan kepada pihak yang bertanggungjawab. Tapi jika teguran itu sekadar maki-hamun dan bersifat serangan peribadi, itu terpulang.


NURUL menerima banyak teguran gara-gara kempen terbaharu iklan Glow & Glamour yang dikatakan menjolok mata dan tidak sesuai diterbitkan pada bulan Ramadan. Iklan berkenaan ditarik penyiarannya susulan perbincangan dengan pengeluar.

“Iklan produk pelangsingan badan dan poster itu tidak salah tetapi tersalah siar pada bulan puasa dan berlatarbelakangkan imej masjid. Itu memang tidak kena. Pihak Glow & Glamour sendiri mengakui bahawa mereka terlepas pandang sensitiviti umat Islam,” jelas Badrul.

Nurul ketika dihubungi, enggan mengulas panjang tetapi menjelaskan, pihak pengurusannya serta pihak Glow & Glamour akan memberikan kenyataan.

“Pihak kami sudahpun berbincang, perkara tersebut berlaku kerana kurang kefahaman terhadap sensitiviti agama Islam. Soal dihentam kerana iklan berkenaan, saya lebih senang ambil keputusan untuk berdiam sahaja,” katanya yang berada di Sandakan, Sabah atas urusan perniagaan.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Glow & Glamour, Claire Ong menjelaskan pihaknya tidak mengetahui tentang etika pemakaian ketika Ramadan bahkan reka bentuk iklan itu sendiri dibuat oleh pereka bukan Muslim.

Claire berkata, semasa iklan itu diserahkan kepada pihak penyiar, mereka tidak mendapat sebarang respons negatif.

“Glow & Glamour sendiri dinaungi oleh orang bukan Islam, jadi kami akui kurang arif tentang sensitiviti pemakaian serta imej-imej yang boleh mendatangkan kemarahan.

“Selepas poster itu dimuat-naik dalam laman Facebook dan laman web rasmi kami, ia mendapat reaksi yang sangat cepat. Jadi kami memohon maaf secara terbuka terhadap pihak Nurul serta seluruh umat Islam kerana menimbulkan kontroversi dengan penyiaran iklan tersebut. Kami juga telah membuat keputusan menarik balik penyiaran iklan tersebut,” katanya semasa dihubungi Sensasi Bintang.
Dipetik dari : Kosmo Online

Bunohan Tampil Barisan Pelakon Hebat

ADA yang signifikan kenapa lima muka pengisi layar seni itu disatukan dalam pertemuan bersalut suasana Lebaran kali ini. Jawapannya mudah, mereka antara pemeran besar milik Malaya dan jika dialirkan ke ruang paling tepat, barisan aktor itu punya ikatan naluri sementelah terbitnya sebuah naskhah yang ditunggu-tunggu, Bunohan dapat dipersembahkan kepada umum.

Mengheret judul karya Dain Said ke dalam penyatuan semula Faizal Hussein bersama Bront Palarae, Namron, Shoffi Jikan dan Pekin Ibrahim itu sudah menjadi motif yang jelas. Secara tersembunyi, tolak nama Pekin seorang, mereka itu jugalah antara penyandang watak penting dalam judul Dukun, filem cereka pertama Dain yang dibikin lebih empat tahun dulu. Malangnya, atas alasan sensitiviti dan kemanusiaan, filem adaptasi kisah jenayah Mona Fandey yang pernah menggegar negara lebih 15 tahun lalu, terhukum beku dalam stor simpanan, sehingga entah sampai bila.

Lantas, ibarat dendam kesenian mencari kesejagatan, Bunohan inilah yang ditunggu-tunggu.

"Memanglah. Kalau ikutkan pun, Dain sudah mula bercakap-cakap tentang Bunohan ini sejak penggambaran Dukun lagi. Watak saya sendiri memang sudah diberitahu Dain lama dahulu. Jadi bila Dukun tak keluar-keluar, masing-masing tunggu Bunohan pula, harap-harap jadi," aktor paling senior di kalangan angkatan ini, Faizal jadi pendahulu memulakan diskusi.

Dari satu sisi yang ketara, pakatan ini sendiri bukan calang-calang aktor. Biarpun masing-masing lahir dari kepompong yang berlainan acuan tetapi graf impak lakon mereka hanya jauhari yang mengenal manikam.

Kali ini, kecuali Faizal Hussein yang terlebih dahulu mengecap kegemilangan, paling diingati dan di mata pemujanya, dia masih Azroy Gila-Gila Remaja, si hero jambu yang punya senyuman paling manis. Bront pula sudah meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Shoffi sedang beraja dengan karakter Ajeeb yang dibinanya dalam KL Gangster, Pekin semakin mendapat tempat di mata pengarah handalan Mamat Khalid manakala Namron, penggiat teater yang sudah bergelar 'sifu' kepada pelajar-pelajar yang pernah mendapat asuhannya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dahulu.
Dari situ terbit pertanyaan, tidak tercabar ego masing-masing atau bagaimana meletakkan ego dan emas di dada agar seimbang tidak terbunuh oleh setiap karakter berbeza.

"Baik dari segi intonasi atau posisi, semua sudah dibasuh semasa sesi latihan, jadi soal peletakan diri itu sudah cantik. Bila timbul rasa sayu dan sedih masa penggambaran tamat. Itu maknanya filem itu sesuatu. Antara kami semua, tak ada sesiapa yang nak tonjolkan diri, setiap watak ada karakter tersendiri dan berlakon dengan ikhlas," ujar Faizal.

Disahut oleh Pekin: "Mulanya kekok juga bila berada di kalangan aktor serba-boleh ini tapi bila hadir untuk sesi latihan, masuk dan meresap ke dalam watak, saya dapat rasa macam dah siap ada isipadu dan sukatan tertentu. Kita sudah tahu nak letak garam banyak mana semasa penggambaran dijalankan."

Menambah bab isipadu yang dijentik si Pekin, Faizal menambah: "Setiap watak akan bergerak bersama latar dan cuaca. Suhu dan warna cuaca akan ikut warna karakter. Sebab itulah penggambaran dilakukan pada musim monsun. Musim itu ada banyak warna. Boleh dikatakan, kami semua buat filem ini bukan sebab tawaran kewangan."

Bront seperti biasa. Tersenyum sambil memeluk tubuh sebelum melontarkan pandangan, dengan perlahan dia mengakui, melihatkan barisan pelakon sahaja, pelakon mana sekalipun tidak akan menolak tawaran Bunohan.

"Bila bekerja dengan pelakon yang hebat-hebat, kita cuma kena fokus dan percaya kepada regu kita, tak perlu lagi nak bereksperimen dan tak perlu nak jaga punggung sesiapa. Nak dapat tawaran filem sebegini lima tahun sekali pun susah," beritahunya yang dalam proses akhir menyudahkan filem arahannya, 3 Rasa.

Sejiwa dengan penerangan sesama ahli geng Bunohan, bagi Namron, tiada soal ego harus berbangkit sebaliknya peluang berganding dengan pelakon yang tahu apa itu lakonan dan ada keserasian, secara automatik akan mengangkat impak lakonan kepada pihak yang lain.

"Bila setiap orang boleh tatang isi karakter, masing-masing akan bertembung dan cetuskan impak lain, ia semacam magis untuk sesebuah filem.

"Sebelum penggambaran bermula, kita sudah bina momentum lakonan. Senang kerja, tapi kalau berlakon dengan pelakon yang bina tembok (ego), susahlah.
HIBURAN
Tatang karakter tanpa ego

KECUALI Faizal Hussien, empat aktor, Shoffi, Bront, Namron serta Pekin ini merupakan regu lepak yang serasi. Tolak Pekin pula, mereka ini membawa dendam Dukun yang tidak kesampaian.

ADA yang signifikan kenapa lima muka pengisi layar seni itu disatukan dalam pertemuan bersalut suasana Lebaran kali ini. Jawapannya mudah, mereka antara pemeran besar milik Malaya dan jika dialirkan ke ruang paling tepat, barisan aktor itu punya ikatan naluri sementelah terbitnya sebuah naskhah yang ditunggu-tunggu, Bunohan dapat dipersembahkan kepada umum.

Mengheret judul karya Dain Said ke dalam penyatuan semula Faizal Hussein bersama Bront Palarae, Namron, Shoffi Jikan dan Pekin Ibrahim itu sudah menjadi motif yang jelas. Secara tersembunyi, tolak nama Pekin seorang, mereka itu jugalah antara penyandang watak penting dalam judul Dukun, filem cereka pertama Dain yang dibikin lebih empat tahun dulu. Malangnya, atas alasan sensitiviti dan kemanusiaan, filem adaptasi kisah jenayah Mona Fandey yang pernah menggegar negara lebih 15 tahun lalu, terhukum beku dalam stor simpanan, sehingga entah sampai bila.

Lantas, ibarat dendam kesenian mencari kesejagatan, Bunohan inilah yang ditunggu-tunggu.

"Memanglah. Kalau ikutkan pun, Dain sudah mula bercakap-cakap tentang Bunohan ini sejak penggambaran Dukun lagi. Watak saya sendiri memang sudah diberitahu Dain lama dahulu. Jadi bila Dukun tak keluar-keluar, masing-masing tunggu Bunohan pula, harap-harap jadi," aktor paling senior di kalangan angkatan ini, Faizal jadi pendahulu memulakan diskusi.

Dari satu sisi yang ketara, pakatan ini sendiri bukan calang-calang aktor. Biarpun masing-masing lahir dari kepompong yang berlainan acuan tetapi graf impak lakon mereka hanya jauhari yang mengenal manikam.

Kali ini, kecuali Faizal Hussein yang terlebih dahulu mengecap kegemilangan, paling diingati dan di mata pemujanya, dia masih Azroy Gila-Gila Remaja, si hero jambu yang punya senyuman paling manis. Bront pula sudah meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Shoffi sedang beraja dengan karakter Ajeeb yang dibinanya dalam KL Gangster, Pekin semakin mendapat tempat di mata pengarah handalan Mamat Khalid manakala Namron, penggiat teater yang sudah bergelar 'sifu' kepada pelajar-pelajar yang pernah mendapat asuhannya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dahulu.


BERBEZA generasi serta haluan seni, angkatan aktor ini antara yang sedang dominan.

Dari situ terbit pertanyaan, tidak tercabar ego masing-masing atau bagaimana meletakkan ego dan emas di dada agar seimbang tidak terbunuh oleh setiap karakter berbeza.

"Baik dari segi intonasi atau posisi, semua sudah dibasuh semasa sesi latihan, jadi soal peletakan diri itu sudah cantik. Bila timbul rasa sayu dan sedih masa penggambaran tamat. Itu maknanya filem itu sesuatu. Antara kami semua, tak ada sesiapa yang nak tonjolkan diri, setiap watak ada karakter tersendiri dan berlakon dengan ikhlas," ujar Faizal.

Disahut oleh Pekin: "Mulanya kekok juga bila berada di kalangan aktor serba-boleh ini tapi bila hadir untuk sesi latihan, masuk dan meresap ke dalam watak, saya dapat rasa macam dah siap ada isipadu dan sukatan tertentu. Kita sudah tahu nak letak garam banyak mana semasa penggambaran dijalankan."

Menambah bab isipadu yang dijentik si Pekin, Faizal menambah: "Setiap watak akan bergerak bersama latar dan cuaca. Suhu dan warna cuaca akan ikut warna karakter. Sebab itulah penggambaran dilakukan pada musim monsun. Musim itu ada banyak warna. Boleh dikatakan, kami semua buat filem ini bukan sebab tawaran kewangan."

Bront seperti biasa. Tersenyum sambil memeluk tubuh sebelum melontarkan pandangan, dengan perlahan dia mengakui, melihatkan barisan pelakon sahaja, pelakon mana sekalipun tidak akan menolak tawaran Bunohan.

"Bila bekerja dengan pelakon yang hebat-hebat, kita cuma kena fokus dan percaya kepada regu kita, tak perlu lagi nak bereksperimen dan tak perlu nak jaga punggung sesiapa. Nak dapat tawaran filem sebegini lima tahun sekali pun susah," beritahunya yang dalam proses akhir menyudahkan filem arahannya, 3 Rasa.

Sejiwa dengan penerangan sesama ahli geng Bunohan, bagi Namron, tiada soal ego harus berbangkit sebaliknya peluang berganding dengan pelakon yang tahu apa itu lakonan dan ada keserasian, secara automatik akan mengangkat impak lakonan kepada pihak yang lain.

"Bila setiap orang boleh tatang isi karakter, masing-masing akan bertembung dan cetuskan impak lain, ia semacam magis untuk sesebuah filem.

"Sebelum penggambaran bermula, kita sudah bina momentum lakonan. Senang kerja, tapi kalau berlakon dengan pelakon yang bina tembok (ego), susahlah.


GANDINGAN antara pelakon sandaran Dain Said ini akan dapat disaksikan dalam Bunohan yang bakal ditayangkan hujung tahun ini.

"Satu hal lagi, kecuali dengan Faizal, kami yang lain-lain ini, kami macam geng walaupun di luar set penggambaran, dan walaupun setiap orang ada grup masing-masing kami selalu berjumpa, borak dan lepak pasal kerja dan projek-projek akan datang," hurai Namron yang kini sibuk di lokasi penggambaran filem Langgar arahan Sein Ruffege.

Menjadi tuan rumah semasa fotografi, Shoffi Jikan antara yang lantang bicaranya. Seperti mana bersungguh-sungguh dia walaupun hanya menjayakan sekecil-kecil watak, kata Shoffi:

"Saya gelarkan corak lakonan kami dalam Bunohan sebagai lakonan sifar. Ia seperti insignificant of significant. Ibaratnya berlakon di bawah par, watak yang diberikan itu sudah penuh, limpah dan kami cuma tatang ia sebaik-baiknya. Watak itu sendiri sangat halus," ujar Shoffi semacam berfalsafah pula.

Meriah dengan lontaran-lontaran yang jarang diperoleh dalam temu bual formal, sesi himpunan lima aktor ini berlangsung penuh santai. Mereka dalam zon selesa, tidak perlu takut, atau risau-risau ada soalan sensasi yang datang menerpa.

Perlu juga diketahui, geng aktor juga handal bergosip jika sesekali bertemu begini. Lebih parah lagi, gosip mereka lebih tajam hinggakan sekali petik, hampir luruh jantung dibuatnya.

"Kami macam begini saja, kalau bercerita pun tentang apa yang berlaku dalam industri, gosip-gosip industri sahaja. Tentang nasib orang-orang macam kami, apa yang mahu tak sama dengan apa yang pengarah atau penerbit mahu. Kadang-kadang terpaksa juga melakonkan sesuatu lakonan walaupun ia tidak logik langsung dengan latar belakang karakter dalam sinopsis. Payah, itu antara faktor yang buat saya kecewa," luah Bront.

Seiring topik yang hampir sama, Namron juga ada topik yang menarik untuk dikongsi:

"Saya selalu dapat bezakan dua jenis kerja, satu buat kerja berlakon kerana 'job' dan satu lagi berlakon kerana 'profession'. Bila pergi berlakon kerana job, saya akan berlakon untuk duit, tapi bekerja dalam situasi 'profession', jiwanya lebih besar. Itu terpulang kepada skrip dan siapa regu di lokasi."

Menadah telinga dengan kejujuran yang terpamer, terdetik juga, alangkah bagusnya kalau diskusi sedalam itu dan terbuka sebegitu juga dapat diperoleh bersama lebih ramai aktor atau aktres pujaan Malaya yang lain.
Sumber : kosmo online

19 August 2011

Asyraf Imam Muda Bakal Timang Anak


PETALING JAYA: Imam Muda Asyraf, 27, bakal menyambut kelahiran bayi lelaki pada hujung tahun ini memandangkan isterinya sedang hamil enam bulan.
Biarpun sibuk dengan urusan kerja melibatkan jemputan mengimamkan solat terawih dan memberi tazkirah Ramadan sepanjang bulan ini, dia tetap mengambil berat dan mengutamakan isterinya yang sedang sarat itu.
“Saya kasihankan isteri yang sedang mengandung, jadi sebab itu orang tidak melihat saya bersamanya kerana saya kurang mengajak dia ke majlis-majlis tertentu.
“Saya tidak mahu dia terdedah sama dengan kesibukan saya yang terpaksa berkejar ke sana sini. Lagipun, dia memang tidak suka menjadi perhatian ramai,” kata Asyraf kepadamStar Online.
Namun, jelas Asyraf, kemungkinan dia akan menghantar isterinya pulang ke kampung terlebih awal menjelang Hari Raya Aidilfitri ini memandangkan isterinya sekarang terpaksa berbuka puasa seorang diri di rumah.
“Saya kasihankan isteri yang jarang dapat berbuka puasa bersama-sama saya. Jadi, apabila berada di kampung, sekurang-kurangnya dia lebih seronok apabila makan berteman.
“Sebelum ini dia selalu masak untuk kami makan sahur bersama-sama,” kata Asyraf yang banyak mendapat jemputan berbuka puasa di luar.
Pada minggu lalu, dia menghadiri majlis doa selamat dan berbuka puasa anjuran SimplySiti di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Asyraf juga sempat meluahkan nasihat dan teguran kepada para remaja yang masih mengambil mudah ibadat puasa ini.
“Saya perhatikan, ada remaja yang mengambil peluang untuk melepak dan bercinta di masjid sewaktu orang lain sedang bertarawih.
“Ikutkan, apa yang dilakukan oleh mereka itu tidak patut berlaku tetapi dalam masa yang sama saya tidak menyalahkan mereka kerana sekurang-kurangnya mereka berada di masjid berbanding di tempat lain,” ujarnya yang membuka sebuah syarikat sendiri, Ben Ridzuan yang menguruskan ceramah umum.
Dipetik daripada mStar Online
Foto Oleh:
SHAARI CHE MAT

Iklan Seksi Hari Raya Nurul


PETALING JAYA: Pihak pengurusan penyanyi Nurul Wahab meminta maaf berhubung isu penyiaran iklan promosi hari Raya pusat pengurusan badan, Glow-Glamour yang memapar penyanyi itu berpakaian terdedah.
Menurut pengurusnya, Badrul Hashim, Nurul yang merupakan duta Glow-Glamour tidak mengetahui mengenai iklan tersebut termasuklah gambar yang dipaparkan oleh pihak pengeluar produk itu.
"Memang sebelum ini Nurul ada mengambil beberapa gambar termasuklah gambar yang dijadikan sebagai iklan Hari Raya bagi tujuan promosi Glow-Glamour pada masa akan datang.
"Tetapi Nurul tidak tahu gambar yang terdedah pula menjadi pilihan untuk dipaparkan pada iklan tersebut," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Tambah Badrul, dia telah pun berjumpa dengan pihak Glow Glamour untuk bertanyakan isu tersebut dan pusat pengurusan badan itu meminta maaf atas kesilapan memilih gambar yang tidak sesuai untuk iklan promosi raya.
"Setelah berbincang, mereka telah meminta maaf dan tidak tahu perkara ini boleh menjadi sensitif dan tidak sesuai bagi tujuan promosi Ramadan dan Aidilfitri, tambah pula ada gambar masjid pada paparan iklan Hari Raya itu.
"Malah pusat pelangsingan badan itu telah menarik balik iklan tersebut dan membuat permohonan maaf menerusi laman web mereka dan di akaun Facebook," jelasnya.
Ditanya apakah reaksi Nurul apabila isu iklan tersebut dibangkitkan, penyanyi itu yakin dia tidak bersalah dengan hal itu cuma risau reputasinya tercalar.
Nurul kini berada di Sandakan, Sabah, bagi menghadiri sebuah sidang perniagaan.
Dipetik : mStar Online

17 August 2011

Pelakon 'Budak Jahat' Drama Juvana Buat Amal


DRAMA rantaian Juvana yang melabuhkan tirainya pada 18 Julai lalu berjaya mencetuskan fenomena sehingga mampu mencatat rating sebanyak 4.2 juta penonton ketika episod akhir siri itu disiarkan.
Sekali gus, populariti siri berkenaan turut memberi peluang kepada tiga ‘budak jahat’, Johan As’ari (Botak), Adam Shahz (Ayam) dan Syazwan Zulkifly (Apek) yang merupakan bintang utama Juvana untuk mengecapi dunia glamor.
Lantaran ‘kejahatan’ yang ditonjolkan dalam drama tersebut, ramai yang mengecam ketiga-tiganya walaupun hakikatnya ia sebuah lakonan.
Baru-baru ini, bertempat di Badan Amal Nur Zahrah, Janda Baik, Pahang, tiga ‘budak jahat’ tersebut melakukan aktiviti amal apabila diundang sebagai artis jemputan menjayakan program Deko Idaman Selebriti bersama dua lagi pelakon iaitu Ashraf Muslim dan Atie Abu Bakar.
Program yang menampilkan konsep pengubahsuaian ruang dalaman rumah itu dihoskan oleh dua pereka dalaman profesional iaitu Azhar Sulaiman dan Syaiful Baharim.
Dalam nada berseloroh, Johan yang pertama kali menyertai aktiviti seperti itu memberitahu, itu adalah denda atas ‘kejahatan’ yang dilakukan dalam siri Juvana.
Ulasnya lanjut, dia agak seronok melakukan kerja-kerja pengubahsuaian itu apatah lagi bersama rakan-rakan artis.
“Sesekali mencuba sesuatu yang di luar bidang lakonan memang mengujakan. Tambahan pula ia adalah aktiviti amal.
“Jujur, saya kurang arif pasal ubah suai bahagian dalaman rumah ini.
“Saya hanya mengikut telunjuk nasihat daripada pakar iaitu Azhar dan Syaiful,” katanya berseloroh.
Sementara itu, Adam pula memberitahu, walaupun keringat jantan membasahi bajunya, keseronokan yang dirasakan bersama artis-artis lain dalam suasana gotong-royong menenggelamkan rasa penat yang dilaluinya.
“Entahlah, sepatutnya kerja-kerja mengemas rumah ini memenatkan. Ditambah pula dengan kawasan rumah kebajikan ini yang luas dan besar.
“Tetapi saya sedikit pun tidak merasakannya. Mungkin keseronokan bergotong-royong membuatkan saya lupa tentang kepenatan,” kata jejaka yang berasal dari Melaka itu.
Sama seperti Johan dan Adam, pendukung watak Apek iaitu Syazwan berkata, sebagai orang bujang, dia tidak pernah memikirkan sangat perihal rekaan dalaman rumah yang didudukinya.
“Cukuplah sekadar ia kemas dan selesa untuk saya tidur dan selayaknya digelar rumah, bukannya sarang tikus atau sebagainya.
“Lagipun, saya tidak pandai sangat dalam bab dekorasi ini. Paling penting, susun atur perabot dan kelengkapan dalam rumah mahu pun bilik saya tidak berterabur,” jelas jejaka berusia 24 tahun itu.
Dalam pada itu, penerbit Deko Idaman Selebriti, Samsairol Che Aman atau mesra disapa sebagai Kid menjelaskan, pengubahsuaian kali ini memberi peluang kepada peminat dan artis berkongsi cita rasa bersama sambil diberi tunjuk ajar dua pakar kreatif profesional.
“Pemilihan dua tenaga kreatif, Azhar dan Syaiful adalah kerana kebolehan yang dimiliki mereka.
“Azhar dikenali dengan sentuhannya sebagai arkitek berpengalaman dan mahir dalam selok-belok pemilihan warna terhadap sesuatu ruang dalam kediaman.
“Manakala Syaiful pula bijak mengadaptasi kreativiti dunia fesyennya ke dalam seni hiasan dalaman serta kemahiran menghasilkan gubahan kreatifnya tersendiri,” komen Kid.
Tambah Kid, antara artis lain yang terlibat dalam penerbitan 13 episod program tersebut ialah Dynas Mokhtar, Natasha Hudson, Shaheizy Sam, Amy Mastura, Aaron Aziz dan Datin Paduka Umie Aida serta disiarkan pada setiap hari Ahad, pukul 12 tengah hari di saluran TV3.

Perbicaraan Benjy,Hanya Didenda RM5000 Edar Syahbu

KUALA LUMPUR – Pelakon Benjy, anak dramatis Azean Irdawaty boleh menarik nafas lega apabila hanya didenda RM5,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas disabitkan bersalah atas satu tuduhan memiliki syabu seberat 0.24 gram di kediamannya pada Mac tahun lalu.
Majistret Hafizza Sauni memutuskan demikian terhadap Benjy, 33, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Artis lelaki tersebut disabit bersalah atas tuduhan memiliki 0.24 gram dadah jenis syabu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada pukul 4 petang, 11 Mac tahun lalu.
Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim yang ditemani adik perempuannya, Elza Irdalynna membayar denda tersebut.
Pelakon yang semakin berisi itu sempat berkata sesuatu kepada wartawan selepas membayar denda: “Saya lega, telah bebas dan semua berakhir, terima kasih kepada rakan-rakan atas sokongan, saya kembali.”
Pada 8 Julai lalu, Benjy dilepas dan dibebas daripada satu tuduhan memiliki 0.14 gram dadah syabu di No. C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Persimpangan Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini pukul 3 petang hari yang sama.

Berkunjung Ke Bazaar Ramadhan Artis Glamor

BAGAIKAN rutin tahunan, apabila tibanya bulan Ramadan kerjaya seni sesetengah artis direhatkan buat sementara waktu. Ada yang ingin merehatkan diri sambil memberi sepenuh tumpuan kepada ibadah puasa.
Bagaimanapun jadual semakin padat buat beberapa orang artis seperti Enot, Didie Alias dan Bienda kerana setiap kali tibanya Ramadan, mereka bertukar kerjaya daripada artis kepada peniaga bazar di bazar larut malam Downtown Cheras, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Enot, Didie rakan kongsi
Dari jauh sudah kedengaran suara jerit pekik dua selebriti Enot dan Didie Alias cuba menarik perhatian orang ramai ke gerai mereka yang menjual kuih raya menggunakan jenama mereka sendiri iaitu Hot Test Mom.
Melihat gelagat mereka, orang ramai yang lalu lalang tersenyum sendirian tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengan mereka berdua.
Menurut Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah, tahun ini sudah masuk tahun keempat dia berniaga kuih raya di bazar Downtown Cheras.
Jika tahun sebelumnya, dia hanya melakukannya seorang diri tetapi tahun ini, dia berkongsi wang, tenaga dan idea bersama rakan baiknya Didie Alias.
"Selepas empat tahun saya banyak belajar daripada kesilapan yang dulu. Jadi tahun ini, saya buat sendiri semua kuih sebanyak sembilan jenis. Harga pun tidak mahal cuma RM25 sahaja.
"Saya bertanggungjawab membuat kuih, manakala Didie menjadi tukang rasa, mana kuih yang sedap dan boleh dijual. Sehingga hari ini, setiap kuih yang saya buat, dia akan rasa dulu kerana takut rasanya tidak sama, dia juga yang akan buat pemasaran," kata Enot yang turut dibantu keluarganya.
Sungguhpun gerai Enot dan Didie dibuka setiap hari sepanjang Ramadan bermula pukul 10 malam sehingga 4 pagi, Enot dan Didie hanya ada di gerai pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja.
Selebihnya, gerai mereka akan dijaga oleh keluarga mereka termasuk anak Didie serta pekerja.
"Hari-hari lain saya dikuarantin di dapur, kerja saya buat kuih sahaja, bukan apa kalau hari-hari di gerai, bila masa pula saya nak buat kuih.
"Ini pun saya tidak cukup tidur kerana sibuk menyiapkan tempahan dan juga kuih untuk dijual di gerai," katanya yang mencipta sendiri resipi kuih raya.
Terang Enot, kini dia semakin kurang berlakon kerana baru sahaja menamatkan pengajian pembuatan roti dan kek. Tidak lama lagi, dia bakal menyambung pengajiannya dalam bidang semburan warna ke atas kek pula.
"Saya bercita-cita mahu membuka sebuah kedai kek, jadi sekarang sebagai persediaan saya mahu menimba ilmu sebanyak mana yang boleh.
"Kalau mahu buka sekarang, saya masih tidak cukup modal kerana buka kedai kek bukan boleh kecil-kecil tetapi bukan bermakna saya tidak mahu berlakon, saya masih sukakan bidang lakonan, jadi kepada penerbit di luar sana jangan segan bagi tawaran lakonan pada saya," ujarnya dalam tawa.
Pewangi Didie
Tahun ini merupakan tahun pertama pengacara, pelakon dan pelawak Fadzilah Mohamed Ali atau nama pentasnya Didie Alias berniaga di bazar Downtown Cheras bersama Enot.
Meskipun begitu, ini bukan kali pertama Didie berniaga kerana sebelum ini, dia juga ligat berniaga ketika bulan Ramadan.
"Dulu-dulu lagi saya ligat berniaga kuih raya tetapi sebab masa itu anak masih kecil lagi, saya berhenti sekejap. Sekarang bila sudah jumpa rakan kongsi saya sama minat, saya sambung balik.
"Setakat ini, semua kuih kami buat sendiri dan syukur kuih kami telah sampai ke Singapura kerana selain Downtown Cheras, kami juga ada buka bazar di Woodlands, Singapura," tutur ibu kepada lima orang anak itu lagi.
Selain kuih raya, Didie juga ligat menjual pewangi keluarannya sendiri di bawah jenama DD Perfume.
Beritahu Didie yang sinonim dengan nama Lady Gaga Malaysia itu, perniagaan minyak wangi telah diusahakannya sejak tahun lalu lagi cuma dia tidak melakukan promosi secara besar-besaran.
"Kalau rakan-rakan dan peminat, semua sudah tahu saya ada keluarkan minyak wangi jenama sendiri. Mungkin orang ramai belum tahu sebab kurangnya promosi.
"Jadi, dengan peluang yang ada ini, peminat boleh datang ke gerai kami yang terletak sebelah menyebelah antara saya, Enot dan Bienda untuk berjumpa kami dan membeli produk-produk kami," tuturnya.
Tudung Bienda
Buat penyanyi, pelakon dan pengacara Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli pula, tahun ini merupakan tahun ketiganya berniaga tudung di bazar.
Dek sambutan hangat yang diterima sebelum ini, Bienda memutuskan untuk meneruskan perniagaan tudung jenamanya sendiri itu meskipun kini sedang berbadan dua selepas melangsung perkahwinan dengan Kamarul Zariman Abdul Rahman pada Oktober tahun lalu.
"Sepanjang puasa saya tidak banyak sangat kerja, jadi fokus saya hanya untuk perniagaan sahaja. Penat memang penat, tambahan sekarang kandungan saya mencecah tiga bulan, saya juga alami alahan, tetapi nasib baik suami banyak membantu," katanya.
Jelas anak penyanyi dangdut Sheeda itu lagi, tudung jualannya berharga daripada RM10 sehingga RM20 sahaja. Disebabkan itu tudung jualannya cukup laris terjual.
"Ada di antara tudung yang dijual merupakan tudung rekaan saya sendiri, jadi tidak sama dengan tudung yang dijual ditempat lain.
"Sebenarnya saya sangat suka berniaga kerana bukan sahaja dapat menambah pendapat tetapi saya puas apabila melihat orang menghargai barang yang kita jual.
"Bagi saya, berniaga di bazar seperti ini juga merupakan platform buat saya untuk bertemu peminat kerana hanya pada bulan Ramadan sahaja mereka dapat berjumpa saya dan artis lain dengan lebih dekat," katanya yang teringin membuka empayar perniagaannya sendiri suatu hari nanti.
Selain Enot, Didie Alias dan Bienda, artis lain yang turut berniaga di bazar larut malam Downtown adalah Sheila Lama dan juga bekas pemain drum band Meet Uncle Hussain, Bakri Ismail.
Sheila Lama yang merupakan penyanyi daripada kumpulan nasyid Huda, pernah menjalankan perniagaan di bazar yang sama pada tahun lalu. Produk yang dijualnya adalah pakaian kasual wanita
Bakri yang merupakan bekas pemain drum band Meet Uncle Hussain dan kini bersama band Kugiran D' Tepi Pantai menjalankan perniagaan baju raya seperti kebaya dan juga kaftan yang diimport dari luar negara bersama keluarganya.
Sebelum ini Bakri pernah berniaga pakaian lelaki tetapi katanya wanita lebih gemar berbelanja daripada lelaki sebab itu tahun ini, dia menjual baju raya untuk wanita pula.
Sumber : Kosmo Online

Kad Kahwin Norman Hakim Dan Memey

Pasangan selebriti Norman Hakim dan Memey Suhaiza telah mula mengedarkan sebanyak 3,200 keping kad undangan majlis persandingan mereka yang akan berlangsung pada 25 September depan di rumah pengantin perempuan di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi Johor.
Menurut Memey, sebanyak 1,200 keping kad telah diedarkan untuk saudara terdekat dan media manakala cetakkan kedua sebanyak 2,000 keping akan diagihkan kepada tetamu jemputan.
“Kami telah edarkan 1,200 keping kad terlebih dahulu kepada rakan-rakan media, saudara mara dan akan mencetak sebanyak 2,000 keping lagi untuk diedarkan kepada tetamu jemputan yang lain.
“Sementara itu, jemputan untuk rakan-rakan artis hanya dibuat pada majlis resepsi yang akan berlangsung di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur, 28 September nanti,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Kad undangan rekaan Luts Design ini memaparkan gambar eksklusif pasangan bakal pengantin mengayakan busana rekaan Ezuwan Ismail dan menggunakan jurugambar profesional Anas Easkey.
“Kita telah melakukan sesi fotografi pada beberapa bulan lalu dan gambar-gambar eksklusif itu telah tersebar di beberapa laman blog baru-baru ini.
“Tapi biasalah perkara-perkara tersebut merupakan lumrah dan ia di luar kawalan kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, untuk majlis di Kota Tinggi, Ezuwan Ismail bertindak sebagai pereka busana bagi majlis akad nikah yang akan diadakan selepas Asar pada 24 September.
Majlis resepsi berkonsepkan dalam taman yang akan diadakan sehari selepas itu pula menampilkan Hatta Dolmat sebagai pereka fesyen untuk majlis persandingan manakala Rizman Ruzaini bagi acara potong kek.
Pasangan ini mendapat tajaan bernilai RM12 juta untuk majlis di Kuala Lumpur.
Berita Dipetik Daripada mStar Online

Album Raya Upin Dan Ipin

 SIRI kartun animasi Upin dan Ipin boleh dikatakan telah membuka satu dimensi baharu dalam bidang animasi tempatan. Bukan sekadar di Malaysia sahaja, bahkan karakter pasangan kembar tersebut telah mencetuskan fenomena di negara jiran iaitu Indonesia.
Dihasilkan oleh syarikat tempatan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. pada tahun 2007, pada asalnya siri kartun berkenaan disiarkan bertujuan untuk mendidik kanak-kanak supaya menghayati bulan Ramadan.
Menariknya, setelah lima tahun rancangan kartun yang diminati ramai itu disiarkan di kaca televisyen, pada tahun ini kedua-dua karakter tersebut akan tampil pula dengan sebuah album raya berjudul Seronoknya Raya Bersama Upin & Ipin.
Penerbit Eksekutif, Rosmin Hashim yang ditemui pada majlis pradengar album berkenaan menyatakan ia diterbitkan menerusi kerjasama antara Les’ Copaque dan Nova Music.
“Idea untuk menghasilkan album ini sudah tercetus sejak beberapa bulan yang lalu. Kemudian kami telah berjumpa dengan pihak Les' Copaque dan ternyata mereka berminat memberi persetujuan untuk ianya dihasilkan.
“Dalam album ini terdapat lima buah lagu kesemuanya, tetapi ia bukanlah lagu-lagu baharu. Sebaliknya ia adalah lagu-lagu raya yang sememangnya cukup popular dan digemari ramai ketika sambutan Aidilfitri,” jelasnya.
Antara lagu-lagu raya yang terkandung di dalam album berkenaan adalah seperti Suasana Di Hari Raya (Anuar Zain & Ellina), Satu Hari Di Hari Raya (M.Nasir), Selamat Hari Raya (Saloma), Suasana Hari Raya (Sharifah Aini) dan Balik Kampung (Sudirman).
Menurut Rosmin, semua lagu tersebut telah dirakamkan sejak awal bulan Julai lalu dan ia dinyanyikan oleh Asyiela Putri Azhar yang juga merupakan pemilik suara untuk karakter Upin dan Upin.
Jelasnya lagi, tempoh selama sebulan diambil untuk menyiapkan album berkenaan sepenuhnya sebelum ia dijual di pasaran seluruh Malaysia dengan harga RM14.90.
“Apa yang menarik tentang album ini, beberapa kata-kata yang berunsur nasihat turut diselitkan pada setiap lagu. Malah, mereka yang membeli album ini juga diberi lima keping poskad Upin dan Ipin secara percuma,” ujarnya.
Menurutnya, pada peringkat permulaan sebanyak 5,000 unit akan dikeluarkan terlebih dahulu dan mereka merancang untuk mengedarkan album berkenaan di Indonesia berdasarkan sambutan kartun Upin dan Ipin yang cukup hangat di negara berkenaan.
Selain album raya tersebut, Rosmin juga memberitahu, selepas Hari Raya Aidilfitri nanti kedua-dua pihak turut mempunyai rancangan untuk menerbitkan album kedua Upin dan Ipin.
Ujarnya, untuk album baharu itu nanti akan memuatkan sebanyak 10 buah lagu yang merangkumi lagu baru dan lagu rakyat serta mendapat sentuhan komposer terkenal iaitu Adnan Abu Hassan.
Sementara itu, Asyiela yang turut ditemui pada majlis yang sama meluahkan rasa gembiranya kerana dapat merakamkan lagu-lagu raya untuk tatapan peminat siri kartun Upin dan Ipin.
Jelas pelajar darjah lima Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 itu lagi, meskipun gembira tetapi dia turut mengakui berdepan kesukaran untuk merakamkan sebuah lagu iaitu Suasana Hari Raya.
“Sebelum ini saya tidak pernah memasuki sebarang pertandingan nyanyian dan memang seronok apabila diberi peluang untuk merakamkan lagu. Malah, saya juga teringin untuk berjumpa dengan Anuar Zain, Datuk Sharifah Aini dan Datuk M. Nasir,” ujarnya yang turut meninati penyanyi Datuk Siti Nurhaliza itu lagi.

16 August 2011

Chef Wan Nasihat Anak Soal Mencari Pasangan Hidup

Lumrah setiap kaum Adam dan Hawa untuk mencari pasangan hidup sebagai penyeri atau pelengkap fasa kehidupan di dunia ini.Tidak terkecuali anak kepada Chef Cook terkenal di dunia masakan Datuk Mohd Ridzuwan Ismail atau lebih dikenali sebagi Chef Wan yang mahukan anaknya menilai dan memilih pasangan hidup yang sesuai dan perlu mengambil masa yang lama untuk lebih mengenali pasanagn mahupun keluarga pasangan.
Petikan dari mStar Online mengenai respons Chef Wan mengenai anaknya yang mengakui sedang hangat bercinta dengan pelakon Ana Dahlia.
“Sebagai ayah saya hanya boleh menasihati dia supaya memilih pasangan yang tepat untuk masa depan rumah tangganya dan tidak tergopoh gapah untuk berkahwin semata-mata menurut kehendak hati,” katanya kepada mStar Online menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dari New Zealand, di sini, Selasa.
“Saya nasihat agar mereka tidak terburu-buru (untuk berkahwin) dan perlu mengambil masa untuk mengenali hati budi dan keluarga kedua-dua belah pihak.
“Mencari pasangan tidak hanya memandang kepada paras rupa tetapi juga hati budi seseorang itu yang akan kekal selamanya,” jelasnya

Semoga Mohd Nadzri bertemu jodoh yang sesuai..aminnnnn

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean