17 August 2011

Album Raya Upin Dan Ipin

 SIRI kartun animasi Upin dan Ipin boleh dikatakan telah membuka satu dimensi baharu dalam bidang animasi tempatan. Bukan sekadar di Malaysia sahaja, bahkan karakter pasangan kembar tersebut telah mencetuskan fenomena di negara jiran iaitu Indonesia.
Dihasilkan oleh syarikat tempatan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. pada tahun 2007, pada asalnya siri kartun berkenaan disiarkan bertujuan untuk mendidik kanak-kanak supaya menghayati bulan Ramadan.
Menariknya, setelah lima tahun rancangan kartun yang diminati ramai itu disiarkan di kaca televisyen, pada tahun ini kedua-dua karakter tersebut akan tampil pula dengan sebuah album raya berjudul Seronoknya Raya Bersama Upin & Ipin.
Penerbit Eksekutif, Rosmin Hashim yang ditemui pada majlis pradengar album berkenaan menyatakan ia diterbitkan menerusi kerjasama antara Les’ Copaque dan Nova Music.
“Idea untuk menghasilkan album ini sudah tercetus sejak beberapa bulan yang lalu. Kemudian kami telah berjumpa dengan pihak Les' Copaque dan ternyata mereka berminat memberi persetujuan untuk ianya dihasilkan.
“Dalam album ini terdapat lima buah lagu kesemuanya, tetapi ia bukanlah lagu-lagu baharu. Sebaliknya ia adalah lagu-lagu raya yang sememangnya cukup popular dan digemari ramai ketika sambutan Aidilfitri,” jelasnya.
Antara lagu-lagu raya yang terkandung di dalam album berkenaan adalah seperti Suasana Di Hari Raya (Anuar Zain & Ellina), Satu Hari Di Hari Raya (M.Nasir), Selamat Hari Raya (Saloma), Suasana Hari Raya (Sharifah Aini) dan Balik Kampung (Sudirman).
Menurut Rosmin, semua lagu tersebut telah dirakamkan sejak awal bulan Julai lalu dan ia dinyanyikan oleh Asyiela Putri Azhar yang juga merupakan pemilik suara untuk karakter Upin dan Upin.
Jelasnya lagi, tempoh selama sebulan diambil untuk menyiapkan album berkenaan sepenuhnya sebelum ia dijual di pasaran seluruh Malaysia dengan harga RM14.90.
“Apa yang menarik tentang album ini, beberapa kata-kata yang berunsur nasihat turut diselitkan pada setiap lagu. Malah, mereka yang membeli album ini juga diberi lima keping poskad Upin dan Ipin secara percuma,” ujarnya.
Menurutnya, pada peringkat permulaan sebanyak 5,000 unit akan dikeluarkan terlebih dahulu dan mereka merancang untuk mengedarkan album berkenaan di Indonesia berdasarkan sambutan kartun Upin dan Ipin yang cukup hangat di negara berkenaan.
Selain album raya tersebut, Rosmin juga memberitahu, selepas Hari Raya Aidilfitri nanti kedua-dua pihak turut mempunyai rancangan untuk menerbitkan album kedua Upin dan Ipin.
Ujarnya, untuk album baharu itu nanti akan memuatkan sebanyak 10 buah lagu yang merangkumi lagu baru dan lagu rakyat serta mendapat sentuhan komposer terkenal iaitu Adnan Abu Hassan.
Sementara itu, Asyiela yang turut ditemui pada majlis yang sama meluahkan rasa gembiranya kerana dapat merakamkan lagu-lagu raya untuk tatapan peminat siri kartun Upin dan Ipin.
Jelas pelajar darjah lima Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 itu lagi, meskipun gembira tetapi dia turut mengakui berdepan kesukaran untuk merakamkan sebuah lagu iaitu Suasana Hari Raya.
“Sebelum ini saya tidak pernah memasuki sebarang pertandingan nyanyian dan memang seronok apabila diberi peluang untuk merakamkan lagu. Malah, saya juga teringin untuk berjumpa dengan Anuar Zain, Datuk Sharifah Aini dan Datuk M. Nasir,” ujarnya yang turut meninati penyanyi Datuk Siti Nurhaliza itu lagi.

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean