17 August 2011

Pelakon 'Budak Jahat' Drama Juvana Buat Amal


DRAMA rantaian Juvana yang melabuhkan tirainya pada 18 Julai lalu berjaya mencetuskan fenomena sehingga mampu mencatat rating sebanyak 4.2 juta penonton ketika episod akhir siri itu disiarkan.
Sekali gus, populariti siri berkenaan turut memberi peluang kepada tiga ‘budak jahat’, Johan As’ari (Botak), Adam Shahz (Ayam) dan Syazwan Zulkifly (Apek) yang merupakan bintang utama Juvana untuk mengecapi dunia glamor.
Lantaran ‘kejahatan’ yang ditonjolkan dalam drama tersebut, ramai yang mengecam ketiga-tiganya walaupun hakikatnya ia sebuah lakonan.
Baru-baru ini, bertempat di Badan Amal Nur Zahrah, Janda Baik, Pahang, tiga ‘budak jahat’ tersebut melakukan aktiviti amal apabila diundang sebagai artis jemputan menjayakan program Deko Idaman Selebriti bersama dua lagi pelakon iaitu Ashraf Muslim dan Atie Abu Bakar.
Program yang menampilkan konsep pengubahsuaian ruang dalaman rumah itu dihoskan oleh dua pereka dalaman profesional iaitu Azhar Sulaiman dan Syaiful Baharim.
Dalam nada berseloroh, Johan yang pertama kali menyertai aktiviti seperti itu memberitahu, itu adalah denda atas ‘kejahatan’ yang dilakukan dalam siri Juvana.
Ulasnya lanjut, dia agak seronok melakukan kerja-kerja pengubahsuaian itu apatah lagi bersama rakan-rakan artis.
“Sesekali mencuba sesuatu yang di luar bidang lakonan memang mengujakan. Tambahan pula ia adalah aktiviti amal.
“Jujur, saya kurang arif pasal ubah suai bahagian dalaman rumah ini.
“Saya hanya mengikut telunjuk nasihat daripada pakar iaitu Azhar dan Syaiful,” katanya berseloroh.
Sementara itu, Adam pula memberitahu, walaupun keringat jantan membasahi bajunya, keseronokan yang dirasakan bersama artis-artis lain dalam suasana gotong-royong menenggelamkan rasa penat yang dilaluinya.
“Entahlah, sepatutnya kerja-kerja mengemas rumah ini memenatkan. Ditambah pula dengan kawasan rumah kebajikan ini yang luas dan besar.
“Tetapi saya sedikit pun tidak merasakannya. Mungkin keseronokan bergotong-royong membuatkan saya lupa tentang kepenatan,” kata jejaka yang berasal dari Melaka itu.
Sama seperti Johan dan Adam, pendukung watak Apek iaitu Syazwan berkata, sebagai orang bujang, dia tidak pernah memikirkan sangat perihal rekaan dalaman rumah yang didudukinya.
“Cukuplah sekadar ia kemas dan selesa untuk saya tidur dan selayaknya digelar rumah, bukannya sarang tikus atau sebagainya.
“Lagipun, saya tidak pandai sangat dalam bab dekorasi ini. Paling penting, susun atur perabot dan kelengkapan dalam rumah mahu pun bilik saya tidak berterabur,” jelas jejaka berusia 24 tahun itu.
Dalam pada itu, penerbit Deko Idaman Selebriti, Samsairol Che Aman atau mesra disapa sebagai Kid menjelaskan, pengubahsuaian kali ini memberi peluang kepada peminat dan artis berkongsi cita rasa bersama sambil diberi tunjuk ajar dua pakar kreatif profesional.
“Pemilihan dua tenaga kreatif, Azhar dan Syaiful adalah kerana kebolehan yang dimiliki mereka.
“Azhar dikenali dengan sentuhannya sebagai arkitek berpengalaman dan mahir dalam selok-belok pemilihan warna terhadap sesuatu ruang dalam kediaman.
“Manakala Syaiful pula bijak mengadaptasi kreativiti dunia fesyennya ke dalam seni hiasan dalaman serta kemahiran menghasilkan gubahan kreatifnya tersendiri,” komen Kid.
Tambah Kid, antara artis lain yang terlibat dalam penerbitan 13 episod program tersebut ialah Dynas Mokhtar, Natasha Hudson, Shaheizy Sam, Amy Mastura, Aaron Aziz dan Datin Paduka Umie Aida serta disiarkan pada setiap hari Ahad, pukul 12 tengah hari di saluran TV3.

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean