29 August 2011

Adnan Sempit Dan Nur Kasih The Movie Sajian Media Prima Raya 2011


SUDAH menjadi tradisi, setiap kali Syawal atau perayaan, stesen TV akan menyajikan pelbagai program menarik untuk halwa mata dan telinga.
Apatah lagi sambutan raya kali ini turut bertindih dengan sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia ke-54 esok, lebih banyak program menarik disediakan. 
Stesen TV3 dan TV9 sebagai contoh membuat persediaan hebat bertemakan Salam Syawal (TV3) dan Di Hatiku Ada Raya (TV9).

TV3 melalui slot Dramedy, menyediakan tiga karya lucu dan lapan telefilem menarik menerusi slot Telemovie Raya sejak 27 Ogos lalu manakala TV9 menyediakan empat telefilem menerusi slot Telefilem. 
Drama Dari Kedah Ke KL ke udara pada raya pertama, jam 10 pagi. Ia lakonan Jep Sepah, Achong, Tiz Zaqyah, Kazar dan Mia Sara Nasuha. Mengisahkan empat hari sebelum Hari Raya, Zamri mengikuti bosnya bermesyuarat di Kedah. 
Malangnya, Zamri terpaksa berikhtiar pulang ke Kuala Lumpur kerana tiket bas habis dijual dan tiada teksi mahu mengambilnya.

Zamri berkenalan dengan Khai yang membantunya mendapatkan balik dompetnya yang dicuri dan mempelawa Khai pulang ke Kuala Lumpur bersamanya. Sejak itu, ada saja masalah yang timbul atas keputusan yang diambil Khai seperti teksi rosak,1 malah dimasukkan lokap dek suatu insiden. 

Senario Raya Hero Cilik yang ke udara 2 September, jam 11 malam mengisahkan Haikal, budak lelaki yang nakal. Lalu ibu bapa Haikal menghantarnya pulang ke kampung untuk tinggal bersama datuknya pada musim cuti sekolah. 

Haikal sengaja menimbulkan pelbagai masalah dengan harapan akan dihantar pulang ke Kuala Lumpur. Tiada siapa yang sudi berkawan dengan Haikal kecuali Ujang. Drama ini dijayakan Izuan Fitri, Azlee Jaafar, Mazlan Pet Pet, Wahid, Sharifah Shahira dan Ijoy. 

Kopi Susu Kopi O muncul pada 3 September, jam 11 malam dengan kisah dua pemilik restoran, Janda dan Duda yang saling bersaing untuk mendapatkan pelang�gan. Mereka juga gemar mengemas kini status akaun twitter. Janda tidak sedar salah seorang kenalan di twitter yang disukainya adalah anak Duda. Drama ini dijayakan Ebby Yus, Ziela Bakarin, Misha Omar, Azad Jasmin, Zed Zaidi, Sobri Anuar dan Irma Hasmie. 

Kemeriahan raya diteruskan dengan Pusara Di Lebuh Raya lakonan Fauzi Nawawi, Lisdawati, Fadilah Mansor, Fazli Daniel dan Idris Md Diah pada raya pertama, jam 11 pagi. Ia mengisahkan Hakimi, pemandu bas ekspres bernazar ingin membawa ibu bapanya mengerjakan umrah andai mendapat anak. 

Namun, niatnya sering tertangguh malah ada saja masalah kewangan yang dihadapi sehingga anaknya menjangkau usia empat tahun dan isteri�nya, Zuraidah mengandungkan anak kedua. 

Sakura yang dijayakan Ahmad Tamimi, Shahz Jaszle, Megan Tan, Raja Noorbaizura, Diandra Junaidi, Raf Yaakob dan Datuk Rosnani Jamil pula ditayangkan pada raya kedua, jam 11 pagi. 

Sakura adalah gadis Jepun, cucu kepada Yamada, bekas tentera Jepun yang pernah bertugas di Malaya ketika Perang Dunia Kedua. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Yamada berpesan kepadanya agar mencari satu keluarga di Malaya untuk memohon maaf atas satu pembunuhan tanpa dirancang. 

Janjiku Pada Al Walid me�nyusul, dibintangi Eman Manan, Johan As’ari, Rabecca Nur Al-Islam, Eizlan Yusof, Roslan Salleh dan Normah Damanhuri (1 September, jam 11 pagi). 

Ia mengisahkan Khalid, kematian isteri menghidap sakit tua dan hidup bersendirian. Anak lelakinya, Khalifa sudah berkeluarga tetapi cucunya, Afiq sering lalai dengan ajaran Islam. 

Telemovie lain yang menarik di TV3 adalah Ku Petik Dosa lakonan Fasha Sanda, Fadilah Mansor, Zaidi Omar, Farah Nadia, Fikree Bakar (2 September, jam 11 pagi). Aina dan Haris berkahwin pada usia muda dan dikurniakan anak perempuan, Nia Qaseh. Gara-gara sibuk bekerja, anak mereka kemudian menjadi mangsa nafsu serakah jiran mereka.

Cerekarama lain yang disediakan adalah Di Telapak Kaki Bonda lakonan Diana Danielle, Hansen Lee, Hairie Othman, Sherry Merlis, Nelly, Angelina Tan, Adam Shah dan Shukri Yahya (3 September, jam 10 malam), Bara Cinta Ramadan (17 September, jam 10 malam) lakonan Zamarul Hisyam, Jasmin Hamid, Fauziah Nawi, Ako Mustapha dan Zarina Zanordin. 

Sementara filem-filem cereka hebat yang disajikan pada raya tahun ini adalah Duyung, Jin Notti, Senario Ep 1, Syurga Cinta, Kecoh Betul, Susuk, Jangan Pandang Belakang Congkak, Momok The Movie, Brainscan 21, Ladyboss, Congkak, Adnan Sempit, Zoo, 4 Madu, Nur Kasih The Movie dan Senario Beach Boys. 

Slot Telefilem TV9 pula membuka tirai menerusi Syurga Bagiku lakonan Razak Ahmad, Zarina Zainoordin, Syazwan Zulkifli, Nazim Othman dan Amanda Misbun pada raya pertama, jam 6.30 petang. 

Ia mengisahkan Razak, dituduh memiliki dadah dan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Dia mempunyai seorang anak perempuan, namun anaknya itu tidak pernah pun melawatinya ketika merengkuk dalam penjara. 

Adikarya Lazizah lakonan Normah Damanhuri, Lisdawati, Amanda Misbun dan Memey Suhaiza muncul pada 31 Ogos, 6.30 petang. 

Lazizah gigih menjaga tiga anak perempuannya tanpa suami. Suami pertama Lazizah, seorang perajurit sudah meninggal dunia lalu dia berkahwin dengan seorang lelaki yang rupanya kaki judi dan jahat. 

Sekering Jiwa Ente yang bertema komedi muncul pada 1 September, jam 6.30 petang manakala Kain Pelikat Acat pada 2 September, jam 6.30 petang. 

Filem cereka menarik yang menjadi pilihan TV9 pula adalah Niyang Rapik, Antoo Fighter, Lu Fikirlah Sendiri, Evolusi KL Drift dan Pisau Cukur.

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean