21 August 2011

Iklan Kontroversi Nurul Wahab Ditarik Balik Siarannya

AWAL minggu lalu, nama Nurul Huda Wahab menjadi sasaran serangan penulis-penulis blog. Lebih kecoh lagi, ada yang menyuarakan kemarahan sambil menyelar poster iklan produk pelangsingan badan Glow & Glamour yang memaparkan Nurul Wahab dalam pakaian menjolok mata. Kemarahan mereka bertambah kerana Nurul dirakam berlatarbelakangkan imej masjid sekali gus dianggap sebagai satu tindakan biadab.

Nurul turut berdepan kata-kata cemuhan. Dia turut disindir seksi tidak bertempat dan tidak mempedulikan sensitiviti umum tambahan pula kempen berkenaan diterbitkan untuk bulan Ramadan.

Bagaimanapun, komen-komen dan teguran daripada pelbagai pihak itu sebenarnya satu tindakan yang masuk akal. Hasil komen-komen berkenaan, barulah Nurul serta pengurusnya, Badrul Hisham menyedari salah percaturan pihak yang berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan kepada pihak Glow & Glamour dan tidak sampai dua hari, iklan yang mengundang kontroversi itu ditarik balik daripada penyiaran di media cetak dan elektronik. Pihak Glow & Glamour sendiri sudah tampil dengan kenyataan maaf.

“Sebenarnya komen-komen itu bagus, kami terima setiap teguran yang baik dengan hati terbuka kerana dari situ juga kami menerima maklum balas untuk dikemukakan kepada pihak yang bertanggungjawab. Tapi jika teguran itu sekadar maki-hamun dan bersifat serangan peribadi, itu terpulang.


NURUL menerima banyak teguran gara-gara kempen terbaharu iklan Glow & Glamour yang dikatakan menjolok mata dan tidak sesuai diterbitkan pada bulan Ramadan. Iklan berkenaan ditarik penyiarannya susulan perbincangan dengan pengeluar.

“Iklan produk pelangsingan badan dan poster itu tidak salah tetapi tersalah siar pada bulan puasa dan berlatarbelakangkan imej masjid. Itu memang tidak kena. Pihak Glow & Glamour sendiri mengakui bahawa mereka terlepas pandang sensitiviti umat Islam,” jelas Badrul.

Nurul ketika dihubungi, enggan mengulas panjang tetapi menjelaskan, pihak pengurusannya serta pihak Glow & Glamour akan memberikan kenyataan.

“Pihak kami sudahpun berbincang, perkara tersebut berlaku kerana kurang kefahaman terhadap sensitiviti agama Islam. Soal dihentam kerana iklan berkenaan, saya lebih senang ambil keputusan untuk berdiam sahaja,” katanya yang berada di Sandakan, Sabah atas urusan perniagaan.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Glow & Glamour, Claire Ong menjelaskan pihaknya tidak mengetahui tentang etika pemakaian ketika Ramadan bahkan reka bentuk iklan itu sendiri dibuat oleh pereka bukan Muslim.

Claire berkata, semasa iklan itu diserahkan kepada pihak penyiar, mereka tidak mendapat sebarang respons negatif.

“Glow & Glamour sendiri dinaungi oleh orang bukan Islam, jadi kami akui kurang arif tentang sensitiviti pemakaian serta imej-imej yang boleh mendatangkan kemarahan.

“Selepas poster itu dimuat-naik dalam laman Facebook dan laman web rasmi kami, ia mendapat reaksi yang sangat cepat. Jadi kami memohon maaf secara terbuka terhadap pihak Nurul serta seluruh umat Islam kerana menimbulkan kontroversi dengan penyiaran iklan tersebut. Kami juga telah membuat keputusan menarik balik penyiaran iklan tersebut,” katanya semasa dihubungi Sensasi Bintang.
Dipetik dari : Kosmo Online

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean