29 September 2009

Kondo Dupleks Hadiah Perkahwinan Umie

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my
MALAM ini, bersamaan dengan 11 Syawal 1430 Hijrah, tiada yang lebih membahagiakan buat aktres jelita tanah air, Umie Aida, 36, selain menanti detik untuk bergelar tunangan orang.
Ya, hati Umie akhirnya berjaya dicuri oleh sang arjuna bernama Datuk Khairudin Abu Hassan, 40-an. Lelaki itu malam ini akan menghantar rombongan untuk meminang Umie.
Debaran bertunang? Masih lagi belum terasa kerana Umie begitu asyik membuat persediaan majlisnya malam nanti.
"Kawan-kawan pun pelik bila saya masih lagi tak rasa debarannya. Mungkin belum terasa lagi kot. Tengoklah sendiri malam nanti macam mana," tuturnya yang mengadakan majlis pertunangan di kediaman mewahnya di Mon't Kiara, Kuala Lumpur dengan warna tema biru muda dan putih untuk persalinan di pihak perempuan manakala kelabu di pihak lelaki.
Majlis pertunangannya nanti pasti menjadi satu tarikh bersejarah buat Umie memandangkan majlis itu telah pun dirancang dengan rapi.
Menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman, Kem Salleh dari Kapas bagi pelamin dan khemah, persalinan baju tunangnya pula direka oleh Bill Keith. Wajah Umie pula akan disolek oleh Khir Khalid.
Selama ini, sangka Umie, dia tidak mungkin akan bercinta mahupun mendirikan rumah tangga sampai bila-bila memandangkan, bukan mudah bagi Umie menerima kehadiran seorang lelaki untuk dijadikan sebagai teman hidupnya.
Hanya dalam tempoh lima bulan perkenalan, Umie yakin lelaki idamannya itu mampu membimbing dan memberi kasih sayang yang penuh kepadanya serta dua anak angkatnya.
"Pada awal dua bulan pertama, memang hati saya belum lagi terbuka untuknya dan waktu itu kami berkawan macam biasa.
"Saya pun ada bercerita hal ini kepada Erra dan kami berbincang bersama. Alhamdulillah, lama-kelamaan saya rasa ada keserasian antara saya dan dia.
"Saya pun fikir juga sampai bila nak bersendirian, jadi saya memberi peluang kepada diri saya untuk dicintai. Lagipun anak-anak pun teringin untuk mendapatkan kasih sayang daripada seorang ayah.
"Kadangkala, kita tidak perlu melalui perhubungan sehingga lima atau enam tahun untuk bercinta. Bila saya nampak kesungguhan dia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah kepada anak-anak, saya nampak kejujuran dan keikhlasan pada dirinya," katanya dihubungi Kosmo! semalam.

Cinta yang unik

Dalam pada itu, biarpun melalui masa perkenalan yang agak singkat, tidak bermakna Umie tidak mengenali secara mendalam mengenai bakal tunangnya yang dipanggil Abang itu.

Bagi Umie, Khairudin yang juga merupakan ahli perniagaan, seorang yang begitu unik selain rapat dengan keluarga serta dua anak-anaknya, Mohd. Daniel Firdaus, 15 dan Mohd. Dzulhelmy, 14 .

Cara percintaan mereka tidak seperti pasangan kekasih zaman kini, sebaliknya, mereka bercinta dengan keluarga di sisi.

Sebagai seorang pelakon yang terpaksa memenuhi hari-harinya di lokasi penggambaran, Umie ada caranya yang tersendiri untuk bercinta dengan temannya itu yang dikatakan seorang jutawan.

"Saya tak berani nak memuji dia lebih-lebih. Cuma saya bersyukur, jika benarlah dia calon suami saya, maka dialah lelaki untuk saya.

"Boleh dikatakan, perkenalan saya dan dia sangat unik. Kami bercinta macam orang dulu-dulu. Dia sangat menghormati saya dan kami tidak pernah lagi berdua-duaan.

"Setakat ini, kalau kami berjumpa pun hanya di kafe saya, rumah kakak (Erma) atau di rumah ibu saya. Bukan saya tak mahu kami berdua-duaan, tapi itulah aura perbezaan yang dipancarkan olehnya.

"Kadang-kadang, walaupun jumpa sekejap, kita tahu orang itu macam mana. Saya nampak dia lain daripada yang lain.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana bertemu dengan lelaki sepertinya. Insya-Allah, jika tiada aral, dalam kesibukan membuat latihan teater Natrah, saya juga akan membuat persiapan pernikahan saya nanti.

"Kalau sempat, saya mahu bernikah akhir tahun ini, kalau tidak, awal tahun depan," kata Umie atau nama sebenarnya, Umi Kalsom Rahmad yang bakal menerima sebuah kondominium dupleks sebagai hadiah perkahwinannya nanti.

Tidak sabar menanti detik pertunangannya, Umie bakal disarungkan cincin pertunangannya yang bertatahkan berlian jenama Chopard, oleh ibu mertuanya.

Erra terkejut

Hubungan mereka bukan sekadar teman biasa, sebaliknya sudah lebih 15 tahun dua pelakon jelita Erra Fazira dan Umie menjadi sahabat yang sangat akrab.

Memberikan gelaran 'makcik' terhadap diri masing-masing, Erra sepanjang perkenalan mereka, segala susah senang dikongsi bersama.

Justeru itu, Erra juga tahu, untuk seorang lelaki memiliki hati Umie bukannya mudah kerana Umie bukanlah seorang wanita yang mudah jatuh cinta.

Namun, dia bersyukur akhirnya teman baiknya itu membuka hati untuk menerima kehadiran seorang lelaki sebagai teman hidup.

"Saya tahu yang dia ada bercerita mengenai Khairudin, tapi tak sangka yang dia betul-betul serius dengan lelaki itu.

"Memang awal-awal, saya susah nak percaya, ingatkan dia main-main. Sampaikan saya kata, 'Makcik naik pelamin dulu, baru saya nak percaya. Selagi makcik tak ada bukti, saya tak akan percaya!'

"Mana taknya, dulu dia dah berjanji pada dirinya dia tak akan berkahwin sampai bila-bila.

"Saya mula percayakannya bila Umie beritahu bakal tunangnya itu mahu merisiknya pada 17 Mei lepas. Barulah saya yakin yang Umie benar-benar membuka hatinya untuk dicintai.

"Saya pun seronok bila lihat Umie mempunyai teman untuk berkasih. Sekurang-kurangnya, kedua-dua anak angkatnya, mempunyai bapa untuk berkasih sayang," ujarnya.

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean