30 September 2009

Rossa:'Saya Masih Isteri Gantung'

"Kami memang sudah tinggal berasingan tetapi belum bercerai," jawab Rossa mengenai dakwaan yang mengatakan dia dan suaminya telah bercerai.

Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani akui walaupun telah tinggal berasingan sejak setahun lalu, namun dia 'belum tahu' sama ada akan bercerai dengan pemain drum band Padi itu atau tidak.

"Saya masih isteri 'gantung' Yoyo."

"Saya belum punya kekuatan untuk bercerai dan hanya berserah kepada yang di atas (Allah) agar memberi yang terbaik dan kekuatan kepada saya," kata Rossa sejurus selepas sidang media ‘Konsert Mini Cerita Cinta Rossa’ di ibu kota semalam.

Jelas Rossa, sebolehnya dia enggan menghebahkan tentang sebab sebenar hubungan dia dengan Yoyo atau nama sebenarnya Yoyo Prasetyo berantakan.

Malah tidak mengiyakan atau menidakkan yang puncanya adalah disebabkan ‘orang ketiga’.

“Saya rasa tak perlulah diceritakan tentang hal ini kerana ia mungkin disimpankan untuk cerita hidup saya.

“Banyak hal-hal yang tak sesuai untuk diceritakan tetapi kami akan berikan yang terbaik,” tutur penyanyi yang popular dengan lagu ‘Ayat-Ayat Cinta’ dan Terlanjur Cinta (duet dengan Pasha Ungu) ini.

Tambahnya, “Saya tak pernah bergaduh besar dengannya kerana kami masih memikirkan tentang anak.

“Saya anggap kami memang tiada jodoh dan berpisah (tinggal berasingan) secara baik.”

Rossa berkata mujurlah dia masih mempunyai ‘penggemar’ (peminat) yang membuatkan dirinya kuat untuk berhadapan dengan situasi sekarang ini.

Lalu, dia tidak mahu peminatnya terlalu mempercayai sesetengah sumber daripada media di Indonesia yang mengesahkan dirinya dengan Yoyo telah bercerai.

“Di sana (Indonesia) tidak semua cerita itu benar sebab ia hanya gosip sahaja.

“Saya hanya kuatkan semangat untuk membesarkan anak dengan baik-baik. Begitu juga dengan Yoyo. Hidup mesti diteruskan,” ujarnya yang akan berduet dengan Pasha daripada kumpulan Ungu dari Indonesia dalam konsert mini yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 26 Jun ini.

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean