28 September 2009

Nurul tidak boleh kahwin Mat Saleh

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my
BERCERAI dengan komposer popular Ajai lebih dua tahun lalu, penyanyi Nurulhuda Abdul Wahab atau selesa dengan panggilan Nurul sudah bersedia untuk berkahwin semula. Memikirkan dirinya sudah lama hidup solo, Nurul tanpa berselindung memberitahu dia mahu bergelar isteri sekali lagi.

Tidak kisah jejaka mana yang ingin mendampinginya, Nurul bagaimanapun hanya mahukan lelaki yang menyayangi dan memahami dirinya serta baik hati. Itu kriteria yang dicari Nurul. Tapi malangnya Nurul berpendapat tidak ramai lelaki yang berani mencuba.

"Setakat ini, tiada orang yang cuba mendekati atau memikat saya. Mungkin orang tidak berani kerana melihat saya seperti seorang yang sombong. Padahal saya bukannya sombong. Jadual kerja yang padat juga menjadi salah satu faktor mengapa saya masih solo," kata Nurul ketika ditemui baru-baru ini.

Menyukai perasaan pulang ke rumah dengan mengetahui seseorang sedang menunggunya, anak Nurul, Ayu Nazirah selalu menyuruh dia supaya berkahwin semula. Nurul sendiri yang sudah berusia 32 tahun juga masih berharap untuk melahirkan anak.

"Usia saya pun bukan muda lagi dan saya masih mahu melahirkan cahaya mata. Saya sangat sukakan bayi dan selalu memeluk anak orang. Mempunyai anak adalah satu perkara yang sangat indah. Lagipun, apabila seseorang itu mempunyai keluarga, dia akan menjadi lebih fokus.

"Hidupnya akan menjadi lebih teratur. Saya berkahwin pada usia muda dan pernah melalui pengalaman berkeluarga. Jadi saya sedar tentang nilai kepentingan berkeluarga dan berharap untuk memiliki keluarga baru," jelasnya dengan jujur.

Walaupun Ayu merestui ibunya berkahwin lagi, anak comelnya ada meletakkan syarat tersendiri. Kata Nurul, Ayu tidak mahu dia memilih jejaka Mat Salleh sebagai suami barunya. Ini kerana dia takut Nurul akan berpindah ke luar negara.

"Ayu tidak suka duduk luar negara. Sebelum ini pun saya pernah terfikir untuk berhijrah ke United Kingdom, Perancis atau Amerika Syarikat. Tapi Ayu tidak setuju.

SELAIN menyanyi Nurul juga sibuk di lokasi penggambaran sebagai pelakon.

"Jadi saya perlu menunggu dia menghabiskan zaman persekolahannya. Mungkin selepas itu dia akan mendapat tawaran belajar di luar negara dan saya tidak kisah berpindah bersama dia," kata Nurul.

Ayu, 11, yang sudah menetap bersama ayahnya selama tiga tahun selepas ibu bapanya bercerai akan tinggal bersama Nurul tahun depan. Tapi dalam jangka masa tiga tahun itu, Nurul mempunyai kebebasan untuk berjumpa dengan Ayu tanpa sekatan daripada Ajai.

"Ajai seorang yang adil. Dia membenarkan saya berjumpa dengan Ayu bila-bila masa. Namun, tahun depan, Ayu mahu tinggal bersama saya. Itu permintaan Ayu tetapi hanya untuk setahun. Selepas itu dia akan tinggal bersama ayahnya selama setahun sebelum tinggal dengan saya semula.

"Saya amat berbangga dengan Ayu yang pandai membuat keputusan. Dia sebenarnya seperti seorang kawan kepada saya. Memiliki pendirian tegas, dia sentiasa risau tentang saya. Adakalanya, saya merasakan Ayu lebih tabah daripada saya," ujar penyanyi yang sudah berkecimpung dalam industri selama 15 tahun.

NURUL bersama permata hatinya, Ayu Nazirah.

Tertekan kerana kerja

Baru pulang dari Jakarta untuk penggambaran drama Kau dan Aku, Nurul kini sibuk mempromosikan album terbarunya, Tika Cinta. Ini kerana, kata Nurul, walaupun album itu sudah dilancarkan pada 8 Julai lalu, Tika Cinta hanya berada di pasaran pada penghujung Ogos lalu.

Kerana itu Nurul masih giat menjalankan aktiviti promosi apatah lagi dia merasakan semua lagu dalam album itu sangat bagus. Malah, dia tidak kisah untuk menjalankan promosi selama setahun asalkan semua lagu itu akan mendapat perhatian.

"Kalau boleh saya tidak mahu membazir sebarang lagu dalam album itu. Dengan single pertama sahaja, Tika Cinta, ramai orang yang menyukainya membuatkan saya lebih giat menjalankan promosi," jelasnya yang kini bergerak di bawah syarikat Metadome Sdn. Bhd.

Menjadi kawan kepada Nurul dalam laman web jaringan sosial Facebook, penyanyi itu sering meluahkan perasaannya menerusi halaman tersebut. Itu membuatkan ramai orang berpendapat hidupnya tidak begitu gembira.

Apabila ditanya mengapa dia seperti berada dalam kesedihan, Nurul memberitahu bahawa dia juga mempunyai perasaan seperti orang lain. Maka, dia perlu meluahkan perasaannya termasuk detik-detik yang duka.

Namun, dia bukannya mengalami sebarang kesulitan dalam kehidupan peribadi sebaliknya cuma terlalu penat dengan kerjanya. Tekanan yang dihadapi telah membuatkan dia kadang-kadang berada dalam mood sedih.

SELEPAS dua tahun bersendiri, Nurul kini sudah bersedia memikul kembali tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Maka tidak hairanlah Nurul sudah lama menyimpan hasrat untuk melancong ke luar negara terutama lokasi berdekatan pantai untuk merehatkan badan. Tapi melihat jadual kerjanya yang padat sehingga tahun depan, Nurul mungkin perlu menangguhkan perancangannya itu.

"Saya kerja tanpa henti dan rasanya saya memerlukan cuti panjang. Selain mempromosi album, saya mungkin akan menjadi duta untuk satu produk. Selepas raya pun saya perlu membuat persembahan dan berlakon. Bagaimana saya mahu bercuti?

"Pada waktu lapang sekarang pun, saya hanya berpeluang untuk pergi ke spa, gim dan menunggang kuda. Itu adalah hobi saya. Walaupun saya ingin bercuti tapi saya mempunyai satu masalah.

"Jika saya pergi bercuti sejauh mana pun, saya akan sentiasa berfikir pasal kerja. Tanpa bekerja, saya akan berasa rimas. Maka, saya akan sentiasa berfikir untuk pulang walaupun sedang bercuti," kata Nurul.

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean