04 September 2009

Nasha Aziz Ubah Kelaziman Ramadan Ini

Bagaimanapun, tahun ini dia menukar rutin hidupnya dengan turun ke lokasi kerana katanya dia memerlukan pendapatan tambahan selepas Aidilfitri.
Jelasnya setiap orang ada perancangan sendiri termasuk dirinya.
Justeru, dia terpaksa mengubah kebiasaan dengan bekerja pada Ramadan kali ini.
“Pada bulan puasa ini saya hendak mencari rezeki lebih kerana ada perkara yang sedang dirancang demi masa depan. “Kalau boleh memang saya tidak mahu bekerja pada bulan puasa kerana kedatangan Ramadan memang ditunggu untuk menambahkan amalan.
“Tahun sebelumnya setiap kali berpuasa saya akan bersolat Tarawih di setiap masjid di ibu kota dan jarang bertarawih di masjid sama.
“Ketika hendak bersolat, ada juga yang mengenali dan saya tidak kisah melayan mereka. Dapat juga merapatkan silaturahim kerana pada hari lain jarang dapat bertemu peminat kerana sibuk di lokasi.

“Saya paling suka bertarawih di Masjid Assyakirin berhampiran KLCC, Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta. Selalunya saya pergi seorang dan ada sesekali bertemu rakan artis di sana,” katanya yang ditemui pada sidang media drama Kasih Tercipta di Damansara, baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani; pengarah drama itu, Rashid Sibir dan pelakon lain, Erra Fazira, Aaron Aziz serta Dee.

Mengenai berbuka pula, jelasnya, dia sudah biasa berbuka dalam kereta dengan menjamah sedikit kuih dan selepas sampai ke destinasi barulah dia akan berbuka dengan lebih sempurna.

“Untuk bersahur pula saya akan makan lewat malam sekitar jam 12 malam atau 3 pagi. Juadah kegemaran pula asam pedas dan rendang.

“Menjadi kemestian hari pertama berbuka bersama keluarga yang menetap di Taman Sri Keramat, Kuala Lumpur,” katanya.

Bercakap mengenai persiapan raya, jelasnya, dia lebih banyak berbelanja untuk keluarga serta anak saudara daripada dirinya sendiri.

Menyentuh statusnya yang masih solo, Nasha berkata dalam percintaan perlu telus dan saling meluahkan rasa untuk mengetahui sejauh mana hubungan itu akan berlangsung serta keserasian bersama.

“Kita perlu meluahkan perasaan untuk mengetahui kedudukan kita di hati pasangan.

“Jika masing-masing berdiam diri sampai bila kita tidak akan tahu sejauh mana dia serius berkawan dengan kita. “Bagaimanapun dalam kehidupan kita yang singkat ini jangan dipersiakan.

“Tidak perlu terlalu bergantung harap dengan orang lain kerana kita berhak mencari kebahagiaan sendiri.

“Lebih utamakan perasaan sendiri dan buatlah yang terbaik untuk diri kita.

“Dalam meniti kehidupan ini jangan ada perasaan takut kerana apa jua yang berlaku hidup mesti diteruskan,” katanya.

Dalam dunia lakonan, Nasha antara wajah yang masih menjadi pilihan pengarah.

Orang lama seperti Nasha dan Erra Fazira yang turut membintangi drama Kasih Tercipta arahan Rashid Sibir itu memberikan sepenuh komitmen terhadap kerja mereka.

Tidak pernah merasakan diri mereka sudah 'cukup bagus' kerana pernah menggenggam gelaran Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia.

Kasih Tercipta mempertemukan Nasha dengan Erra dan Aaron Aziz yang membuahkan cinta tiga segi antara mereka. Menerusi drama itu, Nasha memegang watak jurugambar bernama Tona, Aaron sebagai Shark dan Erra pula diberi watak Lisa, wanita yang ingin memisahkan hubungan Tona dan Shark.

Dipertemukan dengan Erra dalam drama itu, tidak ada masalah bagi Nasha kerana mereka tahu batasan kerja masing-masing.

“Sebagai pelakon jangan ada pemikiran untuk cuba mengatasi atau membayangi antara satu sama lain dan jangan campuradukkan perkara peribadi.

“Saya sudah bekerja dengan ramai model terkenal dunia yang sangat profesional, berdisiplin dan kami ada peraturan tertentu.

“Selepas menyertai bidang lakonan saya terus amalkan prinsip kerja itu yang mementingkan perbincangan sebelum bekerja untuk mengelakkan salah faham dan terjadinya insiden tarik rambut di lokasi.

“Saya juga tidak kisah menjayakan babak pergaduhan, tetapi mesti ada koreografer. Apabila ada koreografer adegan itu akan menjadi lebih cantik dan kita tidak bertindak sebarangan dengan pelakon yang beraksi bersama kita,” katanya.

Rahsia Tercipta mengenai Tona yang mahu menjadi terbaik dalam kerjayanya dan meletakkannya di tempat paling atas. Dia wanita keras kepala, tetapi berhati baik.

Shark pula jurugambar yang bekerja keras mahu membuktikan kepada keluarganya yang kaya-raya bahawa dia mampu melakukan segala-galanya.

Tona dan Shark mempunyai hubungan cintabenci sehingga suatu hari mereka sedar sebenarnya saling mencintai.

Tona akhirnya terima cinta Shark, tetapi kemudian terpaksa mengalah kerana Shark sudah bertunang dengan Lisa. Bagaimanapun Lisa berniat tidak baik dengan Shark.

Drama cinta romantik 26 episod itu turut dibarisi pelakon popular lain, Aleeza Kassim, Fouziah Gous, Syed Ali, Ahmad Tarmimi Siregar, Aida Rahim, Dee dan Norlia Ghani. Ia akan bersiaran di Astro Prima, setiap Selasa, jam 10 malam, mulai 1 September lalu
Source:Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean