11 November 2011

Adlin Aman Ramli Fleksibil Untuk Semua Watak


KUALA LUMPUR, 9 NOV 2011: Pelbagai respon diterima pihak produksi Astro apabila nama pengkritik mulut pedas, Adlin Aman Ramlie diumumkan sebagai peserta Maharaja Lawak Mega (MLM).
Malah, kewibawaan Adlin menyertai program lawak itu dikritik hebat memandangkan dia dilihat masyarakat bukan sebagai artis komedi sebaliknya merupakan anak kepada pelakon komedi terkenal, Allahyarham AR Tompel.
Adlin Aman Ramli Fleksibil Untuk Semua Watak

Bagaimanapun, persoalan dan tanda tanya itu makin lenyap sebaik saja menyaksikan persembahan Adlin pada minggu pertama MLM.
Kesamaran perasaan itu terus lupus dan berubah rentetan daripada lawak jenaka Adlin yang sanggup berpakaian seperti wanita India bersama sari yang menampakkan pusat pada minggu kedua persembahan MLM.
Menerusi persembahan minggu pertama, Adlin telah menjual kisah peribadi ayahnya. Manakala melalui minggu kedua, Adlin yang tidak pernah berpakaian perempuan dalam mana-mana program TV sanggup bertukar jantina dengan memakai pakaian wanita.
Timbul pula persoalan benarkah biras AC Mizal itu sanggup melakukan apa saja memandangkan dia disifatkan tidaklah sehebat peserta berkumpulan MLM yang lain. Betulkah begitu?
"Saya sanggup buat apa saja demi menampilkan persembahan yang dapat menghiburkan penonton. Namun, saya tidak akan buat satu perkara yang sampai memalukan serta membodohkan diri saya. Memang benar, ini kali pertama saya memakai pakaian wanita di khalayak masyarakat," ujarnya.
Dalam pada itu, Adlin turut menegaskan apa yang dilaksanakan pada malam itu bukanlah satu publisiti murahan tetapi lebih kepada satu konsep penceritaan yang profesional.
"Selain melakukan satu persembahan lawak jenaka yang lain dari kebiasaan, saya juga cuba memberitahu masyarakat tentang saya yang juga pandai menari. Saya juga ingin mengetengahkan tarian tradisional India. Saya berharap penonton terhibur dengan persembahan saya itu," katanya.
Untuk mengetahui pengakuan terperinci Adlin mengenai kesanggupan beliau berbuat demikian, jangan lupa menyaksikan episod kedua Apa Kata M? di portal murai.com.my, pada Khamis, jam 6 petang. Anda juga boleh menontonnya setiap Jumaat, jam 9.55 malam di Astro Warna (Saluran 132) dan Astro Prima (Saluran 105).
Teks oleh Razif Rosdi
Foto oleh Mazlan Yunos Photography - Murai

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean