13 August 2011

Noraniza Idris Bakal Bertemu Jodoh Untuk Kali Ke-3


MATA penyanyi etnik kreatif popular, Noraniza Idris sedikit berkaca, sama ada diterpa rasa malu atau sebak berkongsi kisah gembira, siapa tahu ada perkara lebih besar yang sedang difikirkannya.
Sekadar melihat secara luaran, riak wajah wanita berusia 43 tahun itu jelas di ambang bahagia. Senyumnya terukir dan sesekali dia melirik lembut memerhatikan tunangannya, Jeffri Hudi, 52, yang kali pertama dibawa berdepan puluhan wartawan.
Untuk pengetahuan, Noraniza ibu tunggal kepada dua cahaya mata, dan Jeffri bapa tunggal empat anak itu berkenalan sejak Ramadan tahun lalu di sebuah bazar Ramadan di Johor Bahru. Ketika itu Noraniza sibuk menguruskan jualan amal biskut raya termasuklah kuih tat nanas untuk mencari dana tabung anak-anak yatim.
“Saya diperkenalkan dengan Jeffri oleh seorang ustaz yang berurusan dengan saya. Katanya, Jeffri orang Singapura yang bertugas sebagai bilal di sana.
“Kebetulan saya ada adik yang berniaga biskut raya di Singapura. Dari situ kami mula berhubungan dan dia pula rajin menghantar SMS kepada saya,” cerita Noraniza.
Mengikat tali pertunangan pada 22 April lalu, kini penyanyi yang senang dibahasakan sebagai Kak Ani itu bukan sahaja berdebar untuk berdepan detik 29 September nanti sebagai hari pernikahan ketiganya, bahkan ada perkara yang tidak kurang penting dalam hidupnya.
Majlis pernikahan kelak bakal berlangsung serentak dengan Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011 yang julung-julung kali diadakan di negeri berkenaan anjuran syarikat miliknya sendiri dengan kerjasama Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Johor.
Seiring dengan objektif festival yang dijalankan, Noraniza bersama Jeffri, yang bertugas sebagai bilal bebas di Singapura itu akan bernikah dan bersanding dalam acara besar-besaran serta penuh adat-istiadat negeri Johor.
Tidak hanya untuk tetamu jemputan, majlis akad nikah serta persandingan Noraniza bersama Jeffri itu terbuka untuk disaksikan semua pengunjung festival yang berlangsung selama empat hari di Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru itu.
SENSASI BINTANG: Ceritakan bagaimana idea pernikahan sebegitu ditimbul?
NORANIZA: Projek Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia itu sudah saya rancang sejak dua tahun lalu. Sebenarnya saya dan tunang tak merancang untuk kahwin secara besar-besaran, cukup sekadar dilakukan dalam sebuah majlis sederhana di masjid.
Asalnya juga, saya bercadang untuk berkahwin pada 1 Oktober tetapi keluarga mencadangkan tarikh 29 September berdasarkan alasan tertentu yang lebih afdal.
Mengapa tiba-tiba putuskan untuk menganjurkan majlis pernikahan sendiri serentak dalam suasana festival kahwin yang juga dianjurkan syarikat Ani (Noraniza)?
Idea itu datang selepas saya dilamar pada 22 April lalu. Mulanya macam tak nak buat, tapi saya nak rasa pengalaman itu dan mahu istiadat perkahwinan yang cuba saya ketengahkan itu dapat dikongsi bersama masyarakat.
Walaupun itu perkahwinan ketiga dan kedua buat Jeffri, tapi ia tetap hari besar saya.
Bagaimana pula penerimaan pihak bakal pengantin lelaki dalam soal ini?
JEFFRI: Saya memang tidak jangka pernikahan saya akan dijalankan dalam majlis sebegitu meriah. Soal jodoh dan rezeki adalah urusan Allah.
Memang asalnya kami merancang untuk majlis perkahwinan yang sederhana, tapi memikirkan Ani mahu ia dilangsungkan dalam majlis sebegitu, saya setuju dan beri sokongan.
Sejujurnya adakah anda (Jeffri) mengenali dan mengetahui sejarah hidup Ani sebelum ini?
Mengenali Ani, saya tahu dia seorang artis cuma tidak secara mendalam. Apabila kami sudah berhubungan, dari situ saya mula mengenalinya.
Saya boleh menangis mendengar kisah hidupnya. Sungguh saya amat memahami situasi yang pernah dilalui kerana saya juga pernah mengalami perkara yang sama (perceraian). Selepas ini, saya juga tidak akan menghalang Ani daripada terus bergiat dalam bidang seni.
Apa kualiti Ani yang memikat hati anda (Jeffri)?
Kalau dari segi kecantikan itu, semuanya akan luntur bila kita tua. Saya suka dengan wawasan yang selalu Ani perkatakan, dia bercakap tentang masa depan.
Saya fikir, kami ada ruang untuk hidup bersama dan boleh bentuk sebuah keluarga yang bahagia. Saya tidak akan menyekat kerja-kerja seninya. Bagi saya dia juga sebutir mutiara kepada negara dan saya seorang yang cukup bertuah.
Untuk Ani pula, bagaimana boleh terbuka hati untuk berkahwin lagi?
Sejarah hidup saya memang menakutkan. Kalau diikutkan, saya memang serik untuk berkahwin dan 90 peratus hidup saya adalah untuk kerja, dengan syarikat dan Akademi Tatih Seni.
Tapi bila secara kebetulan bertemu dengan Jeffri, dia selalu ambil berat. Saya pula banyak bertanya tentang agama, dari situ kami mula rapat dan rasa cinta itu datang secara semula jadi.
Bagaimana dengan pandangan Ani terhadap Jeffri?
Selama ini saya banyak bertemu dengan lelaki yang tegas perwatakannya tapi Jeffri lain, dia selalu senyum, lembut, pemalu dan sukar menunjukkan rasa marah.
Kalau marah pun, dia akan berdiam dan tegur dengan cara yang berhemah. Dari situ datangnya perasaan suka, mungkin ini disebabkan saya sendiri yang berperwatakan kasar dan tegas terutama bila bercakap soal kerja.

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean