03 September 2010

Permintaan Abby kepada Norman

"SAYA tak berminat nak ambil tahu mengenai majlis pertunangan mereka (Norman dan Memey).
"Kalau betul mereka nak bertunang, alhamdulillah tapi ada sesuatu yang sangat penting yang perlu Norman selesaikan dengan saya terlebih dulu.


"Selepas itu bolehlah Norman teruskan dengan majlis pertunangannya itu," kata pelakon sensasi, Abby Abadi.


Abby berkata demikian apabila diminta mengulas laporan bekas suaminya, Norman Hakim yang akan bertunang dengan kekasihnya, Memey Suhaiza pada 13 September ini bertempat di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi.


Kata Abby atau nama sebenarnya, Arbaieyah Abdul Manan, 32, dia enggan mendedahkan apa yang dimaksudkan dengan 'sesuatu yang sangat penting' itu.


Katanya, dia cuma mendapat tahu cerita mengenai pertunangan Norman dan Memey itu dari pihak media sendiri yang ingin meminta komen daripadanya berhubung perkara itu dan membuatkan dia berasa rimas. "Ramai wartawan telefon dan saya terpaksa memberikan komen. Norman memang tak beritahu saya sendiri cerita dia nak bertunang dengan Memey. Terus terang, saya lebih kenal Norman daripada bakal tunangnya itu," kata Abby lagi. Abby berkata, dari segi nafkah, dia meminta Norman supaya lebih bertanggungjawab menjalankan tugasnya sebagai ayah kepada anak-anak mereka sebagaimana yang dituntut Islam.


"Apa yang Norman beri kepada kami selama ini sederhana sangat. Tidak perlulah saya hendak kecoh-kecoh dalam hal ini. Saya juga tak mahu memberatkan fikiran untuk berfikir mengenai perkara seumpama ini.


"Kalau rezeki saya sentiasa ada, saya masih mampu menyara hidup bersama anak-anak secara sendirian, tapi saya tak mahu bekas suami bersikap lepas tangan begitu saja dalam hal tanggungjawab," katanya.


Hasil perkongsian hidup dengan Norman, Abby dikurniakan tiga anak, Mohamed Danish Hakim, 7, Marissa Dania Hakim, 5, dan Maria Danisha Hakim, 2. Seperti Norman, Abby juga nampaknya sudah bertemu pengganti dan lelaki yang sering dikaitkan dengannya adalah model dan pelakon baru, Zulkifli Ariffin (Zul), 24. Ditanya sama ada hubungan mereka serius atau tidak, kata Abby, apa yang orang nampak mengenai mereka berdua itulah yang sebenarnya berlaku. "Kami mula berkenalan sejak berlakon sama dalam drama bersiri, Apa Itu Cinta dan sejak itu hubungan kami semakin rapat sampai sekarang. "Kalau ada jodoh saya dengan Zul adalah. Kalau tidak ada. saya perlu terima juga. Sebagai manusia biasa, saya juga lebih suka menyerahkan soal jodoh itu kepada Tuhan," katanya.


Baru-baru ini juga Abby dan Zul hadir di majlis berbuka puasa anjuran Skop Productions dengan mengenakan fesyen sedondon.


Kata Abby, buat masa ini, dia tidak terfikir pun ke arah perkahwinan baru.

"Apa yang penting bagi saya, kerja dan anak-anak saya. Saya juga tak tahu lagi sama ada anak-anak akan terima Zul dalam hidup mereka kerana anak-anak saya masih kecil lagi," katanya. Sekalipun mereka sudah bercerai, kata Abby, dia tidak akan pisahkan Norman dan anak-anaknya.


"Memang anak-anak tinggal dengan saya sejak kami bercerai. Kami juga tidak tetapkan sistem giliran atau syarat mengenai penjagaan anak kami sejak bercerai. "Norman bebas untuk mengambil anak-anak dan membawa mereka berjalan-jalan pada bila-bila masa. Selalunya, Norman akan datang melihat anaknya apabila dia tidak terbabit dengan penggambaran drama," katanya.


Beralih kepada perkembangan karier seninya pula, Abby berkata, dia bersyukur kerana rezekinya dalam bidang seni tidak pernah putus sampai sekarang.


"Sejak bercerai, tawaran berlakon sentiasa ada untuk saya menyara anak-anak. Selain siri Gerak Khas, saya juga terbabit dengan penggambaran drama untuk raya, Sabar bersama Norman," katanya.
Source:myMetro
Oleh Ramlah Zainal

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean