30 August 2010

Dunia glamor bukan milik saya lagi'

DUNIA hiburan bukan lagi dambaan Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abdul Wahab selepas menikah dengan penyanyi dan pendakwah bebas, Akhil Hayy, pada 6 Ogos 2009 di Masjid Jamek Ar-Rahman, Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Berimej purdah sebagai penampilan terbaru sejak bergelar isteri, Waheeda kini lebih selesa menumpukan perhatian terhadap rumah tangga dan menguruskan dua anak Akhil daripada perkahwinan terdahulu.
Bertemunya pada majlis Tayangan Meriahnya Raya di Astro di Bora Asmara, baru-baru ini, Waheeda berkata dia gembira dengan dunia barunya. Pasangan itu juga belum ada tanda akan menimang cahaya mata. Menyentuh persoalan itu, tegas Waheeda, biarlah dulu kerana dia mahu memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang kepada dua anak tirinya itu.
"Biarlah anak-anak itu besar dulu, baru saya memikirkan untuk ada anak sendiri. Kanak-kanak yang semakin membesar ada saja kerenahnya dan saya perlu selalu memerhatikan dan membimbing mereka," katanya.
Pada pertemuan itu juga dia menyangkal segala dakwaan imej barunya itu untuk melarikan diri dari perhatian orang ramai.
"Keputusan untuk berubah atas pilihan sendiri dan mengikut sunnah sebanyak mungkin," katanya yang mula mengenakan purdah dua hari selepas majlis resepsi perkahwinannya di rumah keluarga suaminya di Gopeng, Perak.
"Dunia glamor bukan lagi milik saya dan saya datang malam ini pun kerana suami minta menemaninya. "Mengisi masa lapang saya bersama ibu dan sepupu menceburi perniagaan menjual busana Muslimah seperti jubah, abaya dan niqab secara online. Mereka yang berminat, layarilah www.arum-abaya.blogspot.com. Stok datang dari merata tempat antaranya Bahrain, Syria dan Dubai," katanya.
Sementara itu, pada Ramadan ini, Akhil terbabit dalam program raya Astro Oasis iaitu Inspirasi Sanubari Istimewa. Jelas Akhil, ia program muzikal bertemakan kerohanian dan kemanusiaan. Konsep persembahan nyanyian artis terkenal tanah air yang diselang-selikan dengan pantomin, taridra, puisi dan surah pendek. "Gabungan konsep ini berperanan menghidupkan suasana bercerita dalam hiburan. Persembahan artis diiringi pemuzik moden dan penari," katanya.
Mereka yang turut menceriakan program ini, Ramli Sarip, Shahir, Mawi, Noryn Aziz, Hujan, Black, Azlan Typewriter, Bienda dan Munif Hijjaz. Pada majlis yang sama, Astro menayangkan program yang bakal ke udara di enam saluran Melayu - Astro Oasis, Prima, Ria, Ceria, Citra dan Warna.
Source:myMetro

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean