02 September 2009

Pedoman Untuk Peminat Setia

Di awal kemunculannya, Nora mencipta nama selepas kelahiran album sulung, Sandiwara pada 1994.

Menerusi lagu Samudera yang dimuatkan dalam album kelapan yang menggunakan judul sama dan diterbitkan pada 2006, Nora meraih kejayaan pada Anugerah Juara Lagu ke-22 pada 2007.

Lagu itu ciptaan suaminya, Johan Nawawi bekerjasama dengan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya menang kategori Etnik Kreatif.

Kejayaan itu nyata memberi makna besar pada pencapaian karier seninya yang dibina sejak lebih sedekad lalu.

Namun, sejak kebelakangan ini Nora jarang kelihatan mengadakan persembahan mahupun muncul dengan album baru.

Di kesempatan bertemu dengan penyanyi ini ketika majlis berbuka puasa bersama peminat di Restoran Salero Negori, Amcorp Mall, Petaling Jaya Selangor baru-baru ini, Nora menyatakan dia masih aktif menyanyi dan rindu untuk kembali menghasilkan album baru.

Nora berkata, dia masih menerima jemputan mengadakan persembahan pentas termasuk aktiviti bersama anak yatim sempena Ramadan.

Meskipun sebelum ini, Nora lebih dikenali dengan imej berambut pendek sebaliknya kini, dia selesa dengan imej bertudung.

“Jadual persembahan saya tidaklah terlalu sibuk, tetapi saya masih mempunyai masa untuk karier dan keluarga. “Untuk perancangan aktiviti baru, saya akan perkenalkan single baru iaitu Pedoman selepas Aidilfitri nanti.

“Lagu ini adalah ciptaan suami saya sendiri bersama penulis lirik, Mirwana.

“Berbeza dengan lapan album yang pernah saya hasilkan, kali ini saya berminat untuk menampilkan genre kerohanian.

“Seperti album saya yang lalu, saya sering berkongsi perasaan dan pengalaman ketika itu menerusi lagu.

“Begitu juga dengan album baru kali ini, saya fikir genre ini sesuai selepas saya berhijrah untuk bertudung.

“Niat saya mahu menyampaikan mesej positif pada peminat menerusi lagu.

“Saya bukan mahu tunjuk pandai untuk beri nasihat pada orang lain, tetapi saya percaya muzik adalah medium yang sesuai untuk mengajak pendengar ke arah kebaikan,” katanya.

Mengenai kehidupan yang dilalui, Nora akui bahagia bersama suami dan tiga anaknya, Syakir Iman, 16, Syakir Alif, 10 dan Putri Nur Dahlia, 5.

Dalam sibuk mengatur semula aktiviti seni, Nora turut sibuk dengan perniagaan kuih raya yang diusahakan bersama suami.

Katanya, perniagaan yang diusahakan sejak lima tahun lalu secara kecil-kecilan di rumah mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli.

Lanjutan itu, dia kini mempunyai kilang sendiri yang terletak di Glenmarie Shah Alam dan turut meluaskan pasaran produk berkenaan menerusi Internet.

“Berniaga seperti ini memberi kepuasan pada saya apabila pembeli suka dengan kuih yang saya jual.

“Berbanding dulu, saya cuma berpeluang menjual dari rumah, tetapi kini mereka boleh memesan menerusi Internet.

“Bagi memudahkan pembeli, mereka juga boleh mendapatkan kuih saya ini di Restoran Salero Negori yang terletak di tingkat 2, Amcorp Mall. Biarpun sibuk berniaga, saya masih berhasrat terus menyanyi.

“Namun, tidak dinafikan saya ada juga perancangan untuk berhenti dari bidang ini.

“Saya tidak mahu terlalu awal menyatakan saya ingin bersara sekarang kerana peminat akan marah andai saya menyanyi semula selepas itu.

“Bagaimanapun, saya pasrah dengan kehidupan yang pernah saya lalui dan saya percaya setiap apa yang berlaku mempunyai alasan dan hikmahnya.

“Sungguhpun, saya tidak berada di populariti seperti dulu, tetapi saya positif untuk terus beri sumbangan pada kemajuan muzik tanah air.

“Buat masa ini, saya masih mahu menyanyi dan mungkin suatu hari nanti, apabila tiba masanya, saya akan berhenti juga menyanyi,” katanya.

Johan pula berkata, dia tetap menyokong usaha yang dilakukan isterinya sama ada menyanyi mahupun berniaga. Turut membantu dalam aspek operasi perniagaan, dia melihat perniagaan membabitkan anggota keluarga ini mempunyai potensi cerah untuk dimajukan.

“Perniagaan ini boleh dikatakan tradisi keluarga kerana anggota keluarga kami juga terbabit dalam masakan. “Untuk Ramadan kali ini, sejak minggu pertama ramai yang sudah banyak bertanya hingga kami sampai tidak menang tangan menerima tempahan,” katanya.
Source : myMetro

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean