09 December 2011

Benarkah Norish Karman Mengandung Anak Luar Nikah?


Norish Karman ada anak luar nikah?Pelakon jelita itu menafikan dan lebih tidak mahu mengambil tahu tentang  dakwaan itu.Sumber sebelum ini mengatakan ada pelakon popular mengandung anak luar nikah yang dipetik dari Glamor @ Malaysia .Adakah pelakon tersebut Norish Karman?


“Saya tidak mengambil tahu tentang gosip-gosip di akhbar mengenai hal itu kerana sangat sibuk dengan kerjaya dan anak-anak.
“Tetapi saya ada mendengar cerita-cerita kelakar ni. Pada saya, banyak perkara lain yang saya boleh fikirkan. Biarlah mereka (media) nak cakap apa, saya tidak kisah.
“Yang penting, siapa nak jumpa saya, boleh…tapi kita borak pasal kerja sahaja,”
Suka hati mereka nak cakap apa (larikan diri). Saya sedang sibuk dengan penggambaran drama rantaian Anakku Sazali di bawah arahan Bade Azmi.
“Kenapa semua orang nak kejar saya. Saya bukan popular dan cantik. Ramai lagi yang boleh dikejar…
"Apabila orang menonton saya di Festival Monodrama itu nanti, mereka dapat menilai sendiri sama ada khabar angin itu benar atau tidak. Secara logiknya, tiada siapa yang akan mengambil pelakon yang berbadan dua untuk berlakon di atas pentas."-Sumber MStar Online
Berita pelakon popular menyepikan diri akibar terlanjur anak luar nikah hangat diperkatakan baharu-baharu ini kerana pelakon yang dimaksudkan telah lama tidak muncul di layar perak kerana cintanya kepada teman lelakinya dan sanggup melahirkan anak hasil hubungan cinta mereka.Dan berita ini tidak semestinya adalah Norish Karman dan Norish turut menjelaskan sebab dia menyepikan diri dalam industri adalah kerana sibuk menjadi juri Pilih Kasih musim ketiga di Pulau Pinang dan berbincang dengan komposer untuk menyiapkan album pertamanya.Mungkin ini secara kebetulan dan mungkin juga tiada pelakon yang ada melahirkan anak luar nikah baharu-baharu ini.
DG#1 - Jom tonton Festival Monodrama yang dilakonkan oleh Norish Karman yang akan di pentaskan di Istana Budaya pada 13 dan 14 Disember ini yang turut menampilkan beberapa pelakon lain antaranya Jasmin Hamid dan Misha Omar. 

07 December 2011

Energi Luar Biasa 2PM


HANYA dengan tiga buah album studio iaitu The First Album 1:59PM (2009), Hands Up (2011) dan sebuah album versi Jepun berjudul Republic Of 2PM (2011) nama band asal Korea Selatan, 2PM kini berada di puncak.
Nama enam anak muda, Junho, Taecyeon, Wooyoung, Nichkhun, Junsu dan Chansung yang menjadi pelengkap band 2PM dengan pantas meraih populariti yang luar biasa.
Bermula dengan lagu hits mereka Again & Again, kemaraan band 2PM tidak dapat disekat apabila mereka terus muncul dengan lagu-lagu segar dan sentiasa berada di puncak carta muzik di Korea Selatan seperti Heartbeat, I’ll Be Back dan terbaru Hands Up.
Meluaskan lagi empayar 2PM, selepas tiga tahun bersatu sebagai sebuah band bermula tahun 2008, 2PM akhirnya menjejakkan kaki mereka buat pertama kalinya di bumi Malaysia.
Kunjungan mereka ke Malaysia demi bertemu peminat menerusi konsert jelajah Asia pertama mereka yang dinamakan 2PM Hands Up Asia Tour yang berlangsung pada 25 November lalu di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
Malaysia menjadi destinasi terakhir dalam senarai konsert jelajah Asia 2PM selepas Taiwan, Indonesia dan Singapura, manakala konsert di dua destinasi konsert iaitu Filipina dan China ditangguhkan buat sementara waktu.
Bersua mata dengan enam anak muda 2PM pada majlis sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur sehari sebelum konsert mereka berlangsung, mereka mengakui, Malaysia menjadi salah satu destinasi idaman mereka sejak bergelar artis.
“Ini merupakan kunjungan pertama kami ke Malaysia, sudah pasti kami semua sangat gembira berada di sini kerana Malaysia antara negara yang ingin kami lawati selepas melahirkan album.
“Memang agak letih kerana jadual kami yang padat tetapi apabila tiba sahaja di lapangan terbang, kami disambut oleh ramai peminat. Sokongan yang diberikan peminat membuatkan kami bertenaga,” ujar Nichkhun sambil tersenyum.
Pada majlis sidang media itu, Taecyeon dan Nichkhun lebih banyak bertutur berbanding anggota 2PM yang lain kerana mereka fasih berbahasa Inggeris.
Nichkhun yang berasal dari Thailand menyambung: “Ini kunjungan pertama saya bersama 2PM, tetapi sebelum ini saya sudah beberapa kali berkunjung ke Malaysia.
“Saya orang Thailand, negara saya dan Malaysia berjiran. Budaya dan cuaca antara Thailand dan Malaysia hampir sama, jadi mungkin kerana itu saya amat selesa berada di sini. Satu penghormatan buat saya kerana dapat mengadakan persembahan di sini.”
Terlanjur bercakap mengenai Thailand, Nichkhun juga melahirkan kebimbangannya terhadap banjir besar yang berlaku di negaranya terutama terhadap keluarganya dan juga peminat 2PM.
“Saya akui risau dengan keadaan di Thailand tetapi saya dimaklumkan keadaannya kini bertambah baik. Sebelum ini kami menerima sokongan daripada peminat di Thailand, jadi sekarang tiba giliran kami pula memberikan sokongan kepada mereka.
“Bantuan kewangan dan juga bot keselamatan yang kami berikan terhadap mangsa banjir di sana mungkin tidak sebesar mana tetapi bantuan itu sangat besar maknanya kepada mereka yang memerlukan.
“Saya dan pihak 2PM mengharapkan mangsa banjir serta peminat 2PM di Thailand mengharungi dugaan tersebut dengan tabah,” tutur Nichkhun sedikit emosi.
Jangka hayat
Sungguhpun pada awal kemunculan 2PM terdapat tujuh orang anggota termasuk ketua mereka Jaebeom, namun, disebabkan kontroversi Jaebeom menulis tidak sukakan Korea dalam akaun laman sosial My Space tersebar di Internet, dia akhirnya menarik diri daripada band 2PM.
Tidak lagi mahu bercakap mengenai perkara itu, setiap anggota 2PM mengakui tertekan dengan kontroversi dan pemergian ketua mereka.
“Memang kami pernah bersedih mengenainya tetapi kami berjanji antara satu sama lain, kami akan melakukan yang terbaik agar kami dapat senyum semula pada masa hadapan.
“Akhirnya usaha kami berbaloi dan kami berterima kasih kepada peminat yang tidak henti-henti menyokong kami selama ini,” kata Junho.
Bercerita lebih lanjut mengenai keserasian dan jangka hayat band 2PM, mereka memberitahu hubungan yang terjalin seperti adik-beradik menyatukan mereka meskipun terdapat masalah.
“Hubungan kami seperti adik-beradik mungkin kerana kami sudah tinggal bersama sejak zaman menjadi pelatih lagi menyebabkan kami memahami antara satu sama lain.
“Kami amat berharap agar band 2PM dapat bertahan untuk jangka hayat yang lama kerana kami semua sukakan muzik dan sayangkan peminat kami. Dapat memberi inspirasi kepada orang lain menerusi muzik kami, merupakan satu kepuasan yang tidak terhingga,” jawab Chansung.
Sedia takluk Jepun
Selepas menamatkan konsert jelajah Asia mereka di Malaysia, mereka terus terbang ke Jepun untuk aktiviti promosi dan meluaskan lagi sayap seni mereka di sana.
Nampaknya, peminat di Jepun menyambut baik kehadiran band 2PM di sana dan sebagai bukti album mereka laris.
Bagaimanapun, Junho merasakan masih banyak yang perlu diperbaiki dan dipelajari oleh 2PM sebelum mereka benar-benar berjaya.
“Saya tidak rasa 2PM sudah berjaya di Jepun. Sebenarnya, ini hanya permulaan buat kami untuk memasuki pasaran Jepun. Jika ada yang mengatakan kami berjaya, saya terimanya dengan hati yang terbuka dan berharap kejayaan yang sama berlaku di Malaysia,” tegas Junho.
Anggota 2PM juga memiliki bakat lain seperti pengacaraan, berlakon dan juga mencipta lagu. Selepas Taecyeon dan Wooyoung popular menerusi drama bersiri Dream High di Korea, Chansung pula akan terlibat dalam produksi drama Jepun pertamanya dalam drama berjudul Phantom Thief Royal.
Memegang watak sebagai pencuri bernama Jack, kata Chansung pula, satu penghormatan buatnya dapat berlakon bersama aktor dan aktres Jepun yang lain seperti Matsuzaka Tori, Omasa Aya dan Fukushi Seiji.
“Pertuturan bahasa Jepun saya masih banyak perlu diperbaiki. Oleh itu, saya meletakkan usaha sepenuhnya untuk memberikan yang terbaik. Saya harap peminat akan melihat saya sebagai pelakon bukannya seorang penyanyi dalam drama ini,” luah Chansung.
Selain Chansung, Taecyeon juga terlibat dalam sebuah produksi drama Jepun berjudul Boku to Star no 99 Nichi bersama aktres ternama Korea Kim Tae Hee dan aktor Jepun, Nishijima Hidetoshi.
Sesi tayang badan
Konsert Jelajah Asia 2PM Hands Up berlangsung dengan cukup meriah pada 25 November lalu apabila kira-kira seramai 5,000 orang penonton memenuhi stadium.
Rata-rata peminat yang hadir terdiri daripada gadis remaja. Tidak perlu persembahan pembukaan daripada mana-mana penyanyi tempatan, cukup hanya dengan video muzik yang dipaparkan di skrin gergasi di kiri dan kanan stadium, peminat sudah cukup teruja.
Tepat pada pukul 8.30 malam. 2PM muncul di atas pentas dan yang kedengaran hanyalah jeritan peminat mereka yang tidak sabar untuk menyaksikan penyanyi pujaan beraksi.
Menyanyikan sebanyak 25 lagu malam itu, energi 2PM memang cukup hebat. Memulakan persembahan dengan lagu rancak Hot, Electricity dan Hands Up konsert 2PM wajar dipuji.
Selain tiket laris dengan populariti 2PM, konsert itu juga diserikan dengan permainan lampu-lampu laser yang mengubah wajah pentas dengan kadar segera sesuai dengan mood lagu yang didendangkan.
Meskipun menyanyi dalam bahasa Korea, itu tidak menghalang peminat daripada menyanyi bersama-sama mereka seperti lagu balada yang berjudul I Can’t.
Penganjur juga bijak dengan meletakkan lirik lagu untuk lagu-lagu hit mereka supaya peminat yang tidak menghafal lagu boleh menyanyi bersama.
Sesekali kedengaran Taecyeon dan Nichkhun menyapa peminat dengan berkata apa khabar dan mengucapkan terima kasih kepada peminat.
Persembahan juga dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti lagu My Valentine dipersembahkan oleh Nichkhun dan Taecyeon, lagu Besides You dinyanyikan oleh Junho dan Wooyoung.
Elemen drama turut diselitkan dalam konsert ini apabila Chansung melakonkan aksi ala-ala samurai di atas pentas yang ingin membalas dendam kerana kematian kekasih.
Bermula dengan lakonan di atas skrin dibawa ke atas pentas dengan latar muzik lagu Revenger. Ternyata persembahan Chansung menjadi kerana hakikat sebenarnya dia seorang artis seni mempertahankan diri yang terlatih.
Suasana paling gamat apabila 2PM mendendangkan lagu Back To You bersama enam penari wanita yang cukup seksi.
Bahkan, peminat bagai tidak dapat dikawal apabila kesemua anggota 2PM membuka butang baju mendedahkan tubuh sasa masing-masing dalam persembahan tersebut.
Ternyata semua peminat pulang dengan senyuman puas dan kata Junho dalam bahasa Melayu sebelum mengakhiri persembahan mereka: “Kami akan balik ke sini lagi.”
Lagu lain yang turut dipersembahan 2PM adalah Crazy For You, Wait & Tired, Give To Me, Dance Tonight, I’ll Be Back, I Hate You, Alive, Only You, Again & Again, I’m Your Man, Heartbeat, 10 Out Of 10, Thank You dan diakhiri dengan lagu rancak Hands Up. - Kosmo

Izara Aishah Pelakon Yang Semakin Popular


MEMANG tidak dinafikan, air mukanya yang mempunyai riak sombong dengan renungan mata yang tajam membuatkan ramai menyangka gadis genit ini sukar didekati.
IZARA Aishah antara bintang baru yang cukup menyinar ketika ini.

Malah, tuan punya badan sendiri mengakui akan hakikat itu. Tetapi, bagi Izara Aishah, dia sedikit pun tidak melenting mahupun berkecil hati jika ada yang menyangka dirinya begitu.
"Sudah menjadi adat. Tak kenal, maka tak cinta. Saya bukan seperti itu. Sejak saya menjadi pelakon, sudah banyak saya digelar dengan pelbagai konotasi sehingga ada yang takut untuk dekat dengan saya (ketawa).
"Barangkali dengan wajah sombong saya ini juga, ia sebenarnya membawa tuah kerana rezeki yang saya terima tidak pernah putus," ujar aktres yang mesra disapa Izara ini dalam derai tawa sewaktu ditemui pada majlis perasmian Pameran Busana Perkahwinan Mutiara di Muzium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menyambung bicara, anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini memberitahu, tuah sering memihak kepadanya untuk membawakan watak antagonis yang seakan-akan sudah menjadi identitinya selama hampir setahun bergelar seorang aktres.
Drama bersiri Keranamu Laila dan Soffiya yang masing-masing ditayangkan di TV3 sepanjang tahun ini telah membuat masyarakat sedar akan kehadiran pelakon kecil molek ini.
Dua drama rantaian itu sudah cukup membuatkan penonton dan peminat drama tempatan yang bagaikan selesa dengan kehadiran Izara memeran watak hitam dalam mana-mana drama.
Tetapi bagi diri gadis berusia 19 tahun ini sendiri, dia seboleh-bolehnya mahu lari daripada watak sedemikian kerana bimbang dilabelkan sebagai stereotaip dan tidak berupaya membawakan watak lain.
"Saya pernah membawakan watak baik dalam drama Kasih Najihah dan watak komedi menerusi drama Jejaka J misalnya. Tetapi mungkin penonton tidak sedar akan kehadiran saya.
"Alhamdulillah, apabila saya muncul dalam Keranamu Laila dan Soffiya, masyarakat mula sedar akan kehadiran saya lalu membuatkan saya berazam untuk terus bekerja keras dalam bidang ini," kata naib juara Dewi Remaja 2010 ini penuh optimis.
Cukup sedar akan kehadirannya sebagai salah seorang bakat baru yang semakin menyinar kerdipan bintangnya, Izara tidak mahu mengejar populariti semata-mata.
Serius dalam kerjaya
Sebaliknya, dia benar-benar serius dengan kerjayanya sebagai seorang aktres dan akan terus gigih berusaha memperbaiki segala kelemahannya.
Kata Izara lagi, sebagai orang baru dalam bidang lakonan, perjalanannya masih terlalu jauh dan hanya satu pinta Izara agar dia terus diberi ruang untuk menonjolkan bakatnya sebagai seorang pelakon.
"Saya menerima segala kritikan kerana saya tahu, semua itu amat penting bagi diri saya dalam menjadi seorang aktres yang baik.
"Sewaktu saya mula-mula keluar dulu pun, saya teruk dikritik apabila ramai yang mengatakan lakonan saya kayu dan nampak sungguh kaku di skrin.
"Tetapi, saya melihatnya dari sudut positif dan sebagai seorang anak seni, saya percaya usaha dan kerja keras akan membuahkan hasil di masa hadapan," ujar Izara yang mengakui hatinya sudah dimiliki oleh seorang jejaka namun, enggan mendedahkan identiti sebenar sang arjuna itu.
Dalam konteks ini kata Izara, dia yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiriVanila Coklat mahu peminat dan penonton dapat menilai sebaik mungkin lakonannya nanti.
Bukan lagi watak antagonis, sebaliknya Vanila Coklat memperlihatkan sisi putih Izara dalam drama rantaian 13 episod yang turut menampilkan Iqram Dinzly sebagai teraju utama.
Biarpun ketika ini cukup lebat dengan tawaran drama, tetapi bagi Izara dia tidak mahu terburu-buru dan tamak menerima semua tawaran yang datang kepadanya.
Seboleh-bolehnya dia mahu melakukannya secara perlahan-lahan dan tidak terlalu drastik kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa di kemudian hari.
"Saya sedar akan kemampuan saya sebagai pelakon baru. Kalau saya menerima semua tawaran tetapi hasilnya nanti mengecewakan, saya yang akan menanggungnya.
"Untuk itu, adalah lebih baik saya menerima tawaran satu demi satu demi kebaikan saya juga. Atas alasan itu jugalah, saya belum yakin untuk berlakon filem.
"Bukannya tidak ada tawaran, tetapi ada ketikanya tawaran itu datang di kala saya sibuk dengan penggambaran drama. Jadi, apabila masa yang sesuai tiba nanti, insya-Allah, saya akan berlakon filem pula," katanya yang mengharap watak-watak yang dapat mencabar kredibilitinya sebagai seorang aktres.-Hiburan Utusan Online

06 December 2011

Gambar Rumah Banglo Khairul Fahmi @ Apek

Tahniah diucapakan kepada Penjaga Gol Kebangsaan Malaysia Mohd Kairul Fahmi Che Mat yang tidak lama lagi bakal menduduki rumah banglo baharu sumbang daripada kerajaan negeri Kelantan atas kejayaan membawa pasukan boleh sepak Malaysia menjuarai piala AFF 2010.Semoga dengan pemberian ini akan memberi suntukan semanagat kepada beliau untuk terus cemerlang dalam kerjaya bola sepak.
Wajah rumah baharu penjaga gol kebangsaan Mohd Khairul Fahmi



Konsert Fenomena Search Di Kuching Dan Tawau


Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
KONSERT Fenomena Search 30 Tahun yang berlangsung di Pulang Pinang (19 November) dan Johor Bahru (3 Disember) ternyata mendapat sambutan yang hangat daripada peminat legenda rock tanah air tersebut.
Malah, konsert yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 17 Disember ini sempena sambutan ulang tahun Search yang ke-30 itu turut akan dibanjiri dengan peminat-peminat mereka.
Bagaimanapun, ia bukanlah kemuncak buat ahli kumpulan tersebut iaitu Amy (Vokalis), Nasir (Gitar bass), Nordin (Gitar kedua), Kid (Gitar utama) dan Yazid (Dram) untuk mengadakan konsert pada tahun ini.
Sebaliknya, hanya selepas seminggu berakhirnya konsert di Kuala Lumpur nanti, mereka akan diterbangkan pula ke dua buah negeri iaitu di Sabah dan Sarawak untuk menghiburkan peminat mereka di sana.
Dianjurkan bersama oleh Universal Credential Sdn. Bhd. dan Nova Music (M) Sdn. Bhd., Konsert Fenomena Search 30 Tahun - Jelajah Borneo itu akan berlangsung di Kompleks Sukan Tawau, Sabah (24 Disember) dan Stadium Negeri Kuching, Sarawak (31 Disember).
Pada sidang akhbar baru-baru ini, Datin Nirvana Jalil Ghani selaku wakil Universal Credential Sdn. Bhd. memberitahu penganjuran konsert di kedua-dua, buah negeri tersebut adalah mahu memberi peluang kepada peminat untuk meraikan bersama ulang tahun Search yang sudah bertapak dalam industri muzik selama 30 tahun.
“Ini adalah merupakan kesinambungan kepada siri jelajah konsert yang diadakan di tiga buah negeri Semenanjung Malaysia, walaupun ia dianjurkan oleh pihak yang berlainan.
“Lagipun usaha kami untuk menganjurkan konsert di Sabah dan Sarawak adalah bagi memenuhi permintaan peminat di sana yang sudah lama menantikan persembahan secara langsung oleh Search,” jelasnya.
Menurut Nirvana, para peminat yang ingin menyaksikan konsert tersebut tidak perlu risau kerana harga tiket yang telah ditetapkan sangat murah dan berbaloi iaitu RM25 sahaja.
Ujarnya, dengan harga tiket tersebut pihaknya sangat berharap agar peminat legenda rock tanah air itu dapat hadir beramai-ramai memandangkan ia mampu menampung sehingga 30,000 orang.
“Jika sebelum ini peminat hanya dapat menonton persembahan Search di televisyen, maka ini adalah peluang terbaik untuk mereka sama-sama berhibur sambil meraikan ulang tahun kumpulan tersebut,” ujarnya.
Pada sidang akhbar yang sama, Amy menjelaskan peluang untuk mengadakan konsert di Sabah dan Sarawak adalah satu peluang yang sangat dinantikan.
Selain negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Amy memberitahu bahawa kumpulan Search juga sebenarnya mempunyai ramai peminat yang fanatik di kedua-dua buah negeri tersebut.
“Sudah tentu tanggungjawab kami adalah memberi yang terbaik serta persembahan mantap kepada peminat semasa konsert itu berlangsung dan dengan harapan dapat memberi kenangan paling manis buat mereka,” ujarnya.
Ditanya tentang konsep persembahan pula, Nasir menjelaskan tidak banyak perbezaan yang dibuat berbanding dengan siri jelajah konsert yang diadakan di Pulau Pinang dan Johor Bahru sebelum ini.
Ujarnya, kelainan yang akan ditampilkan nanti adalah berdasarkan kepada beberapa aspek teknikal seperti reka bentuk pentas, penggunaan lampu dan sistem bunyi memandangkan kos yang lebih besar diperlukan untuk menganjurkan konsert di kedua-dua negeri tersebut.
“Tentang lagu-lagu yang akan dinyanyikan pula, sebanyak 20 lagu yang akan dipersembahkan dan dipetik daripada album-album Search terawal sehinggalah yang terkini,” ujarnya.Kosmo

05 December 2011

Filem Semerah Padi Cinta Atau Sumpah Setia

CINTA Dara pada Aduka atau ikatan pertunangan antaranya dan Taruna? Mana satu pilihan Dara untuk dikorbankan? Persoalan itu dibiarkan tergantung untuk penonton yang akan hadir menyaksikan naskhah filem Semerah Padi yang diangkat ke pentas teater di Istana Budaya bermula 22 Disember ini, jawapan ada di hujung ceritanya. Dara, watak yang akan dilakonkan oleh Jue Aziz manakala Aduka dan Taruna masing-masing dimainkan oleh pelakon berbakat Khir Rahman dan Fauzi Nawawi. Semerah Padi, sebuah karya hebat arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1956 yang mengisahkan dua sahabat Aduka (lakonan P. Ramlee) dan Taruna (lakonan Nordin Ahmad) yang mahir dalam ilmu persilatan di kampung Semerah Padi. Biarpun Dara (lakonan Saadiah) yang merupakan anak kepada penghulu kampung itu sudah ditunangkan bersama Taruna, cinta tetap 'menghalalkan' hubungannya dengan Aduka. Khilaf pada agama dan persahabatan diakhiri dengan hukuman hudud seperti tuntutan dalam Islam. Pertemuan pada petang Khamis lalu beriring gerimis manja pantas terisi dengan kisah menarik sepanjang proses latihan teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh itu. Bersama Khir Rahman, Fauzi Nawawi dan Jue Aziz, kami menyelak lembaran kisah pendukung watak utama - Aduka, Taruna dan Dara. Interpretasi Khir Ibarat orang mengantuk disorong bantal, watak Aduka sememangnya sudah didamba oleh sutradara berkaliber, Khir Rahman, 38. "Saya memang mahukan watak Aduka, bila sudah dapat memang sangat berbesar hati. Namun perlu ingat, tiada siapa dapat gantikan tempat P. Ramlee. "Sama ada ia boleh jadi lebih baik atau lebih teruk daripada versi asal, saya pilih untuk jadi lebih baik!" kata pemilik nama Khairulizam Abdul Rahman. Teater Semerah Padi ujar Khir perlu diberi makna dalam setiap pengucapan dialog begitu juga pergerakan bagi menyalut sifat teater itu dengan momen 1950-an. "Kalau kita teliti, cara gerak dan percakapan dalam filem-filem dahulu lebih dramatik, perilakunya berbeza daripada sekarang. Itu yang istimewanya teater ini, mengubat rindu orang-orang lama," luncur butir bicara sambil menunjukkan beberapa contoh aksi yang dikatakannya dramatik itu. Menterjemahkan filem ke pentas teater bukan kerja mudah kata Khir. Perlu diberi penelitian atas segala aspek. Risiko untuk penonton membanding bezakan filem dan teater juga tinggi. "Tapi seelok-eloknya usah membandingkan naskhah filem dan teater sebab masing-masing ada sudut pandangan tersendiri, kadangkala ia menyeronokkan dan tidak mustahil mengecewakan," ulas pendukung watak Aduka. Aduka bagi Khir adalah seorang yang setia pada kawan karibnya, Taruna. Menerusi teater itu watak Aduka akan 'dipusing' sedikit, setelah menyelamatkan Dara daripada tangan Borek dia terpaksa menjadi 'pak sanggup' semata-mata untuk menjaga maruah Dara yang telah diperkosa. Pakej Fauzi Taruna pula taat dan tegas! Kata pemain watak itu, Fauzi Nawawi, 38, dek kerana sifat itu, Dara berpaling perhatian kepada Aduka. "Watak itu (Taruna) memang sudah sinonim dengan Nordin Ahmad, seorang yang setia pada pemerintah dan taat pada agama. "Tidak jauh beza watak asal dengan ciri-cirinya dalam teater, cuma perbualan tak akan sama sebab dia legenda, kalau nak tiru memang tidak mampu, apa yang boleh ikut cara saya sendiri," ucap Fauzi yang sudah siap berpakaian pendekar ketika sesi temu ramah berlangsung. Berkobar-kobar dan menyala-nyala api semangatnya menyarung pakaian yang mula memperkenalkan seorang Fauzi Nawawi 15 tahun dulu. "Seni silat mungkin menjadi kelebihan pada saya untuk memainkan peranan Taruna, saya akan pamerkan sesuatu yang selama ini tidak berpeluang untuk beraksi dalam drama atau filem. "Akhirnya dapat juga saya kembali bersilat setelah lama tinggalkan dunia pendekar," ujar Fauzi akan pakej sempurna yang dimilikinya. Boleh berlakon, menyanyi dan menari merupakan kredit eksklusif yang dimiliki suami kepada pelakon jelita, Lisdawati. Namun, mempunyai kemahiran dalam seni mempertahankan diri menolaknya sedikit ke hadapan. DARI kiri: Khir, Jue dan Fauzi akan berusaha menghidupkan Semerah Padi dalam pemahaman mereka dengan sebaik mungkin. "Untuk menjadi anak seni bagi saya perlu ada pakej lengkap, perlu tahu semua bidang. Berlakon, menyanyi dan menari serta kredit jika tahu seni mempertahankan diri," katanya yang pada asal terkeliru mengenai naskhah Semerah Padi ini sama ada ia sebuah teater atau bangsawan. Janji Fauzi, kualiti dan hasil terbaik akan dihadiahkan khusus untuk peminatnya. Katanya:"Kejujuran dan keikhlasan dalam berkarya itu penting, orang yang menonton akan menilainya sendiri." Jue dirogol Inti cerita daripada filem Semerah Padi dibentang untuk menjadi landasan dan kompas buat naskhah baharu iaitu sebuah teater memecut laju. Perlu diingat, tidak semestinya segala yang tersurat di filem diterjemahkan ke pentas. Umpama babak Dara yang dirogol ketika diculik oleh kumpulan penjahat yang diketuai oleh Borek (lakonan Opie Zami) yang hakikatnya berlainan susur galur cerita asal filem. Kata empunya nama Zuliana Abdul Aziz, 28, babak dia dirogol oleh watak Borek paling mencabar baginya. "Jue suka babak ini, sumpah! Susahnya sebab cipta aksi sendiri, Jue sendiri yang minta dipukul dan diterajang melalui perbincangan dengan Opie. "Itu kepuasan bagi Jue, mungkin setiap pelakon ada lain-lain penerimaan, tapi bila kita sendiri puas penonton juga akan dapat rasa. Memang semua akan terkejut, babak itu sangat zalim!" cerita Jue yang turut cedera sepanjang sesi latihan yang masih berlangsung. Ditanya adakah Jue sendiri akan menyanyi, menari dan berlakon pada waktu yang sama? Jawabnya: "Jue akan menari, tapi kalau menyanyi nanti orang akan dengar Jue buat versi rock dalam teater Melayu." Dara dalam kisah Semerah Padi adalah anak kepada penghulu yang akur pada arahan orang tuanya untuk dijodohkan dengan Taruna biarpun dalam hati kuat membentak. Bergolak setiap kali berjumpa Aduka yang akan sentiasa bersama Taruna, terumbang-ambing dipukul perasaan sayang dan bersalah. Dara berdepan dua sisi berbeza saat bertemu dengan Taruna mahupun Aduka. "Jue mainkan dua karakter berbeza, dengan Aduka lain, lebih relaks, berterus-terang dan degil. "Tapi kalau dengan Taruna, Jue tak sanggup pandang mukanya sebab dia terlalu baik dan dia Jue sanjungi," singkap figura berambut panjang mengurai itu. Mana satu pilihan Jue atau Dara akan terjawab dalam pementasan teater Semerah Padi yang akan bermula pada 22 Disember ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut layari www.istanabudaya.gov.my dan www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600. Kosmo

Anugerah Juara Lagu 26 Bermula

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN SEPERTI yang dijanjikan dengan berakhirnya bahagian ketiga separuh akhir Muzik Muzik 26 yang berlangsung pada Jumaat lepas, 12 peserta yang akan meneruskan kemaraan ke peringkat akhir sudah pun terjawab kini. Persaingan sengit daripada 30 buah lagu yang menampilkan artis solo dan berkumpulan sepanjang tiga minggu separuh akhir Muzik Muzik 26 dilihat bukan sahaja memberi debaran luar biasa kepada penyanyi yang bertanding tetapi juga peminat muzik di negara ini. Semua 12 lagu yang terpilih adalah, Yuna menerusi lagu Gadis Semasa dan Penakut, Alyah (Kisah Hati), Hafiz (Awan Nano), 3 Suara (Beribu Sesalan) dan Atilia & Monoloque (Kekanda Adinda). Turut ke akhir Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26), Najwa Latif (Cinta Muka Buku), Aizat (Sungai Lui), Projek Pistol (Wanita Seluruh Dunia), Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali dan Altimet (Kalau Berpacaran), Jaclyn Victor (Sedetik Lebih) dan Faizal Tahir (Karma). Menurut Ketua Juri, Azhar Borhan, dia tidak bersetuju untuk mengatakan bahawa pemilihan lagu-lagu yang layak ke pentas akhir nanti adalah berdasarkan populariti semata-mata. "Setiap tahun AJL akan dibarisi peserta yang berbeza, sama juga seperti tahun ini. "Kami mengadili lagu ini tanpa berbincang sesama sendiri, malah ada di antara kami tidak tahu akan populariti lagu ini di luar, " katanya pada sidang akhbar sejurus selepas pengumuman 12 peserta akhir AJL26, di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Bagi menguatkan lagi jawapan itu, Azhar turut mempertahankan lagu Cinta Muka Buku nyanyian Najwa Latif yang dikatakan tidak layak untuk berada di pentas akhir. "Lagu ini ini ringkas dan mudah untuk memikat para pendengar muzik. "Bagi saya secara peribadi itu merupakan kekuatan sebenar lagu ini untuk berada di pentas akhir," katanya. Sementara itu, Najwa memberitahu, dia amat bersyukur dengan peluang yang diberikan pihak juri kepada penyanyi baru sepertinya. "Dengan usia saya dalam industri ini yang masih mentah, tentunya peluang sebesar ini merupakan satu perkara yang langsung tidak dijangka oleh saya. "Saya tidak mahu terus di belenggu dengan kata-kata lagu ini tidak layak berada di final. Ini kerana apa yang penting saya sudah melakukan yang terbaik dan akan kekal positif untuk membuktikan keupayaan saya," ujarnya. Turut mendapat perhatian pada bahagian ketiga Muzik Muzik Jumaat lepas ialah pengganti Anuar Zain untuk menyanyikan lagu Sedetik Lebih. Ternyata kekuatan vokal milik Jaclyn Victor menjadi pengubat kepada kegusaran peminat lagu ini apabila dia berjaya menyampaikan lagu ini dengan agak baik sehingga layak untuk berada di dalam 12 lagu yang terpilih ke pentas akhir AJL 26 pada 29 Januari depan. Menurutnya, dia amat berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan Edry Abdul Halim dan Anuar Zain untuk dia menyampaikan lagu tersebut. "Terima kasih saya ucapkan ke atas peluang yang diberikan mereka kepada saya untuk menyampaikan lagu ini pada separuh akhir Muzik Muzik 26. "Dan saya juga amat lega kerana telah menyampaikan lagu ini sebaik mungkin pada malam ini," kata Jaclyn ringkas.Utusan online

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean