07 December 2011

Energi Luar Biasa 2PM


HANYA dengan tiga buah album studio iaitu The First Album 1:59PM (2009), Hands Up (2011) dan sebuah album versi Jepun berjudul Republic Of 2PM (2011) nama band asal Korea Selatan, 2PM kini berada di puncak.
Nama enam anak muda, Junho, Taecyeon, Wooyoung, Nichkhun, Junsu dan Chansung yang menjadi pelengkap band 2PM dengan pantas meraih populariti yang luar biasa.
Bermula dengan lagu hits mereka Again & Again, kemaraan band 2PM tidak dapat disekat apabila mereka terus muncul dengan lagu-lagu segar dan sentiasa berada di puncak carta muzik di Korea Selatan seperti Heartbeat, I’ll Be Back dan terbaru Hands Up.
Meluaskan lagi empayar 2PM, selepas tiga tahun bersatu sebagai sebuah band bermula tahun 2008, 2PM akhirnya menjejakkan kaki mereka buat pertama kalinya di bumi Malaysia.
Kunjungan mereka ke Malaysia demi bertemu peminat menerusi konsert jelajah Asia pertama mereka yang dinamakan 2PM Hands Up Asia Tour yang berlangsung pada 25 November lalu di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
Malaysia menjadi destinasi terakhir dalam senarai konsert jelajah Asia 2PM selepas Taiwan, Indonesia dan Singapura, manakala konsert di dua destinasi konsert iaitu Filipina dan China ditangguhkan buat sementara waktu.
Bersua mata dengan enam anak muda 2PM pada majlis sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur sehari sebelum konsert mereka berlangsung, mereka mengakui, Malaysia menjadi salah satu destinasi idaman mereka sejak bergelar artis.
“Ini merupakan kunjungan pertama kami ke Malaysia, sudah pasti kami semua sangat gembira berada di sini kerana Malaysia antara negara yang ingin kami lawati selepas melahirkan album.
“Memang agak letih kerana jadual kami yang padat tetapi apabila tiba sahaja di lapangan terbang, kami disambut oleh ramai peminat. Sokongan yang diberikan peminat membuatkan kami bertenaga,” ujar Nichkhun sambil tersenyum.
Pada majlis sidang media itu, Taecyeon dan Nichkhun lebih banyak bertutur berbanding anggota 2PM yang lain kerana mereka fasih berbahasa Inggeris.
Nichkhun yang berasal dari Thailand menyambung: “Ini kunjungan pertama saya bersama 2PM, tetapi sebelum ini saya sudah beberapa kali berkunjung ke Malaysia.
“Saya orang Thailand, negara saya dan Malaysia berjiran. Budaya dan cuaca antara Thailand dan Malaysia hampir sama, jadi mungkin kerana itu saya amat selesa berada di sini. Satu penghormatan buat saya kerana dapat mengadakan persembahan di sini.”
Terlanjur bercakap mengenai Thailand, Nichkhun juga melahirkan kebimbangannya terhadap banjir besar yang berlaku di negaranya terutama terhadap keluarganya dan juga peminat 2PM.
“Saya akui risau dengan keadaan di Thailand tetapi saya dimaklumkan keadaannya kini bertambah baik. Sebelum ini kami menerima sokongan daripada peminat di Thailand, jadi sekarang tiba giliran kami pula memberikan sokongan kepada mereka.
“Bantuan kewangan dan juga bot keselamatan yang kami berikan terhadap mangsa banjir di sana mungkin tidak sebesar mana tetapi bantuan itu sangat besar maknanya kepada mereka yang memerlukan.
“Saya dan pihak 2PM mengharapkan mangsa banjir serta peminat 2PM di Thailand mengharungi dugaan tersebut dengan tabah,” tutur Nichkhun sedikit emosi.
Jangka hayat
Sungguhpun pada awal kemunculan 2PM terdapat tujuh orang anggota termasuk ketua mereka Jaebeom, namun, disebabkan kontroversi Jaebeom menulis tidak sukakan Korea dalam akaun laman sosial My Space tersebar di Internet, dia akhirnya menarik diri daripada band 2PM.
Tidak lagi mahu bercakap mengenai perkara itu, setiap anggota 2PM mengakui tertekan dengan kontroversi dan pemergian ketua mereka.
“Memang kami pernah bersedih mengenainya tetapi kami berjanji antara satu sama lain, kami akan melakukan yang terbaik agar kami dapat senyum semula pada masa hadapan.
“Akhirnya usaha kami berbaloi dan kami berterima kasih kepada peminat yang tidak henti-henti menyokong kami selama ini,” kata Junho.
Bercerita lebih lanjut mengenai keserasian dan jangka hayat band 2PM, mereka memberitahu hubungan yang terjalin seperti adik-beradik menyatukan mereka meskipun terdapat masalah.
“Hubungan kami seperti adik-beradik mungkin kerana kami sudah tinggal bersama sejak zaman menjadi pelatih lagi menyebabkan kami memahami antara satu sama lain.
“Kami amat berharap agar band 2PM dapat bertahan untuk jangka hayat yang lama kerana kami semua sukakan muzik dan sayangkan peminat kami. Dapat memberi inspirasi kepada orang lain menerusi muzik kami, merupakan satu kepuasan yang tidak terhingga,” jawab Chansung.
Sedia takluk Jepun
Selepas menamatkan konsert jelajah Asia mereka di Malaysia, mereka terus terbang ke Jepun untuk aktiviti promosi dan meluaskan lagi sayap seni mereka di sana.
Nampaknya, peminat di Jepun menyambut baik kehadiran band 2PM di sana dan sebagai bukti album mereka laris.
Bagaimanapun, Junho merasakan masih banyak yang perlu diperbaiki dan dipelajari oleh 2PM sebelum mereka benar-benar berjaya.
“Saya tidak rasa 2PM sudah berjaya di Jepun. Sebenarnya, ini hanya permulaan buat kami untuk memasuki pasaran Jepun. Jika ada yang mengatakan kami berjaya, saya terimanya dengan hati yang terbuka dan berharap kejayaan yang sama berlaku di Malaysia,” tegas Junho.
Anggota 2PM juga memiliki bakat lain seperti pengacaraan, berlakon dan juga mencipta lagu. Selepas Taecyeon dan Wooyoung popular menerusi drama bersiri Dream High di Korea, Chansung pula akan terlibat dalam produksi drama Jepun pertamanya dalam drama berjudul Phantom Thief Royal.
Memegang watak sebagai pencuri bernama Jack, kata Chansung pula, satu penghormatan buatnya dapat berlakon bersama aktor dan aktres Jepun yang lain seperti Matsuzaka Tori, Omasa Aya dan Fukushi Seiji.
“Pertuturan bahasa Jepun saya masih banyak perlu diperbaiki. Oleh itu, saya meletakkan usaha sepenuhnya untuk memberikan yang terbaik. Saya harap peminat akan melihat saya sebagai pelakon bukannya seorang penyanyi dalam drama ini,” luah Chansung.
Selain Chansung, Taecyeon juga terlibat dalam sebuah produksi drama Jepun berjudul Boku to Star no 99 Nichi bersama aktres ternama Korea Kim Tae Hee dan aktor Jepun, Nishijima Hidetoshi.
Sesi tayang badan
Konsert Jelajah Asia 2PM Hands Up berlangsung dengan cukup meriah pada 25 November lalu apabila kira-kira seramai 5,000 orang penonton memenuhi stadium.
Rata-rata peminat yang hadir terdiri daripada gadis remaja. Tidak perlu persembahan pembukaan daripada mana-mana penyanyi tempatan, cukup hanya dengan video muzik yang dipaparkan di skrin gergasi di kiri dan kanan stadium, peminat sudah cukup teruja.
Tepat pada pukul 8.30 malam. 2PM muncul di atas pentas dan yang kedengaran hanyalah jeritan peminat mereka yang tidak sabar untuk menyaksikan penyanyi pujaan beraksi.
Menyanyikan sebanyak 25 lagu malam itu, energi 2PM memang cukup hebat. Memulakan persembahan dengan lagu rancak Hot, Electricity dan Hands Up konsert 2PM wajar dipuji.
Selain tiket laris dengan populariti 2PM, konsert itu juga diserikan dengan permainan lampu-lampu laser yang mengubah wajah pentas dengan kadar segera sesuai dengan mood lagu yang didendangkan.
Meskipun menyanyi dalam bahasa Korea, itu tidak menghalang peminat daripada menyanyi bersama-sama mereka seperti lagu balada yang berjudul I Can’t.
Penganjur juga bijak dengan meletakkan lirik lagu untuk lagu-lagu hit mereka supaya peminat yang tidak menghafal lagu boleh menyanyi bersama.
Sesekali kedengaran Taecyeon dan Nichkhun menyapa peminat dengan berkata apa khabar dan mengucapkan terima kasih kepada peminat.
Persembahan juga dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti lagu My Valentine dipersembahkan oleh Nichkhun dan Taecyeon, lagu Besides You dinyanyikan oleh Junho dan Wooyoung.
Elemen drama turut diselitkan dalam konsert ini apabila Chansung melakonkan aksi ala-ala samurai di atas pentas yang ingin membalas dendam kerana kematian kekasih.
Bermula dengan lakonan di atas skrin dibawa ke atas pentas dengan latar muzik lagu Revenger. Ternyata persembahan Chansung menjadi kerana hakikat sebenarnya dia seorang artis seni mempertahankan diri yang terlatih.
Suasana paling gamat apabila 2PM mendendangkan lagu Back To You bersama enam penari wanita yang cukup seksi.
Bahkan, peminat bagai tidak dapat dikawal apabila kesemua anggota 2PM membuka butang baju mendedahkan tubuh sasa masing-masing dalam persembahan tersebut.
Ternyata semua peminat pulang dengan senyuman puas dan kata Junho dalam bahasa Melayu sebelum mengakhiri persembahan mereka: “Kami akan balik ke sini lagi.”
Lagu lain yang turut dipersembahan 2PM adalah Crazy For You, Wait & Tired, Give To Me, Dance Tonight, I’ll Be Back, I Hate You, Alive, Only You, Again & Again, I’m Your Man, Heartbeat, 10 Out Of 10, Thank You dan diakhiri dengan lagu rancak Hands Up. - Kosmo

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean