05 December 2011

Anugerah Juara Lagu 26 Bermula

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN SEPERTI yang dijanjikan dengan berakhirnya bahagian ketiga separuh akhir Muzik Muzik 26 yang berlangsung pada Jumaat lepas, 12 peserta yang akan meneruskan kemaraan ke peringkat akhir sudah pun terjawab kini. Persaingan sengit daripada 30 buah lagu yang menampilkan artis solo dan berkumpulan sepanjang tiga minggu separuh akhir Muzik Muzik 26 dilihat bukan sahaja memberi debaran luar biasa kepada penyanyi yang bertanding tetapi juga peminat muzik di negara ini. Semua 12 lagu yang terpilih adalah, Yuna menerusi lagu Gadis Semasa dan Penakut, Alyah (Kisah Hati), Hafiz (Awan Nano), 3 Suara (Beribu Sesalan) dan Atilia & Monoloque (Kekanda Adinda). Turut ke akhir Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26), Najwa Latif (Cinta Muka Buku), Aizat (Sungai Lui), Projek Pistol (Wanita Seluruh Dunia), Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali dan Altimet (Kalau Berpacaran), Jaclyn Victor (Sedetik Lebih) dan Faizal Tahir (Karma). Menurut Ketua Juri, Azhar Borhan, dia tidak bersetuju untuk mengatakan bahawa pemilihan lagu-lagu yang layak ke pentas akhir nanti adalah berdasarkan populariti semata-mata. "Setiap tahun AJL akan dibarisi peserta yang berbeza, sama juga seperti tahun ini. "Kami mengadili lagu ini tanpa berbincang sesama sendiri, malah ada di antara kami tidak tahu akan populariti lagu ini di luar, " katanya pada sidang akhbar sejurus selepas pengumuman 12 peserta akhir AJL26, di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Bagi menguatkan lagi jawapan itu, Azhar turut mempertahankan lagu Cinta Muka Buku nyanyian Najwa Latif yang dikatakan tidak layak untuk berada di pentas akhir. "Lagu ini ini ringkas dan mudah untuk memikat para pendengar muzik. "Bagi saya secara peribadi itu merupakan kekuatan sebenar lagu ini untuk berada di pentas akhir," katanya. Sementara itu, Najwa memberitahu, dia amat bersyukur dengan peluang yang diberikan pihak juri kepada penyanyi baru sepertinya. "Dengan usia saya dalam industri ini yang masih mentah, tentunya peluang sebesar ini merupakan satu perkara yang langsung tidak dijangka oleh saya. "Saya tidak mahu terus di belenggu dengan kata-kata lagu ini tidak layak berada di final. Ini kerana apa yang penting saya sudah melakukan yang terbaik dan akan kekal positif untuk membuktikan keupayaan saya," ujarnya. Turut mendapat perhatian pada bahagian ketiga Muzik Muzik Jumaat lepas ialah pengganti Anuar Zain untuk menyanyikan lagu Sedetik Lebih. Ternyata kekuatan vokal milik Jaclyn Victor menjadi pengubat kepada kegusaran peminat lagu ini apabila dia berjaya menyampaikan lagu ini dengan agak baik sehingga layak untuk berada di dalam 12 lagu yang terpilih ke pentas akhir AJL 26 pada 29 Januari depan. Menurutnya, dia amat berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan Edry Abdul Halim dan Anuar Zain untuk dia menyampaikan lagu tersebut. "Terima kasih saya ucapkan ke atas peluang yang diberikan mereka kepada saya untuk menyampaikan lagu ini pada separuh akhir Muzik Muzik 26. "Dan saya juga amat lega kerana telah menyampaikan lagu ini sebaik mungkin pada malam ini," kata Jaclyn ringkas.Utusan online

 
Glamor @ Malaysia powered by blogger.com
Design by Free7 Blogger Templates Simple Clean