Ketika Cinta Bertasbih Antara Sajian | TV9 | Sempena Raya 2011 |
Bukhari ketika ditemui berkata, ini tahun pertama TV AlHijrah menghasilkan kandungan program untuk Ramadan dan Syawal. Biarpun mencabar, mereka cuba menyajikan program yang yang sesuai kepada penonton.
“TV AlHijrah menampilkan konsep program Islamik. Konsep Islamik ini mula mendapat perhatian ramai walaupun pada mulanya ia sukar difahami,” katanya.
Berbalik kepada pengisian program raya, Bukhari berkata, tema Syawal Satu Kemenangan dipilih kerana Aidilfitri adalah detik kemenangan selepas perjuangan terbesar umat Islam melawan hawa nafsu.
“Untuk hari raya, kami tampilkan program seperti Kitab Cinta Syawal Di Markas (2 Syawal, jam 11.30 pagi) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia. Ia dirakam di Tasik Banding.
“Sebanyak sembilan telemovie pula dihasilkan untuk siaran selama seminggu, antaranya Elegi Kasih (malam raya, jam 10 malam), Tart Untuk Kakak (1 Syawal, 2 petang), Kitab Cinta (1 Syawal, 8.30 malam) dan Pak Ngah Haji Omar (2 Syawal, 8.30 malam).
“Program kami tiada unsur-unsur sedih. Inilah yang membezakan program raya AlHijrah dengan stesen lain. Kami mahu lari dari kebiasaan. Kandungan bahannya lebih kepada nilai keinsafan.
“Kami juga sediakan satu program hiburan iaitu Salam Raya Steve Thornton (1 Syawal, 10.30 malam) yang menampilkan artis undangan Datuk Ahmad Nawab, Datuk Sheila Majid, Raihan dan Noryn Aziz,” jelasnya.
Sementara itu, Bukhari turut mengakui mereka kekurangan skrip yang baik dan berunsur keIslaman dan mengharapkan supaya karyawan seni tampil dengan pembaharuan.
“Saya lihat, sudah ada satu kesedaran dalam penulisan dan sumbangan skrip.
Tapi kami masih perlukan banyak skrip dan minta penerbit tampil dengan skrip yang baik dan bermutu. Ceritanya mesti ada elemen drama namun dalam masa sama menghiburkan,” jelasnya.
Menjawab pertanyaan lain, Bukhari akui menerima rungutan daripada penduduk di negeri di utara Semenanjung dan Kelantan yang tidak berpeluang menonton siaran percuma TV AlHijrah. Katanya, pihak mereka sedang cuba mengatasi masalah itu.
“Kami dalam peringkat untuk dapatkan spektrum siaran yang meluas dan masih menunggu penilaian Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai perkara ini. Bagaimanapun, penonton boleh menyaksikan program kami menerusi Internet dengan melayari www.tvalhijrah.com atau facebook kami,” katanya.
Lain-lain program menarik TV AlHijrah adalah Assalamualaikum: Syawal Satu Kemenangan (1-3 Syawal, jam 7 pagi-10 pagi), Ketika Cinta Bertasbih 1 (2 Syawal, jam 2 petang), Hostel Ramadan (3 Syawal, jam 11 pagi), Syawal Di Australia (3 Syawal, jam 12 tengah hari ), Ketika Cinta Bertasbih 2 (3 Syawal, jam 2 petang) dan Tidak Terputus Tasbih itu (3 Syawal, jam 8.30 malam).
Dipetik Dari : myMetro